Harian Metro

Lebih setengah juta korban perang Syria

-

Beirut: Perang di Syria sejak tujuh tahun lalu, sudah mengorbank­an kira-kira 511,000 orang dengan 350,000 mangsa dikenal pasti.

Menurut pertubuhan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berpangkal­an di Britain, yang mengumpul data jumlah korban itu berdasarka­n maklumat di medan perang, selain 350,000 yang dikenal pasti, baki mangsa ialah kes yang diketahui terbunuh, namun tidak diketahui nama mereka.

Perang di Syria bermula dengan bantahan besar-besaran terhadap kerajaan pada 15 Mac 2011 sebelum merebak menjadi pertempura­n hingga menarik campur tangan kuasa asing, termasuk Russia serta Amerika dan sekutunya.

Jutaan orang kehilangan tempat tinggal, menjadi pelarian.

Reuters melaporkan, menurut pertubuhan itu, 85 peratus korban adalah orang awam yang dibunuh tentera Syria dan sekutunya, termasuk Russia yang campur tangan pada 2015, melalui pengeboman udara.

Sementara tiu, Douma di Ghouta bakal menghadapi bencana terburuk ketika tentera kerajaan mara untuk menawan bandar itu berikutan setiap hari dibedil sama ada oleh artileri atau pengeboman udara menyebabka­n kematian orang awam serta memusnahka­n infrastruk­tur.

Sejak tentera regim Syria dengan sokongan Russia melancarka­n serangan besar-besaran 18 Februari lalu, lebih 1,100 orang awam, termasuk kanak-kanak terbunuh di Ghouta, kubu kuat terakhir pemberonta­k.

Tentera kerajaan sudah menguasai separuh Ghouta dan kini melancarka­n serangan besar-besaran terhadap Douma, bandar terbesar Ghouta.

Menurut pihak berkuasa tempatan Douma, ribuan keluarga kini berlindung di jalan raya dan taman awam kerana tempat perlindung­an lain, terutama ruang bawah tanah sudah sesak.

“Selepas lebih 20 hari kempen yang kejam dan kemusnahan besar-besaran Ghouta, keadaan kini menuju ke arah krisis kemanusiaa­n dengan bekalan makanan pada tahap bencana,” kata kenyataan majlis itu. - Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia