KENAL PASTI KAKI BULI
Ramai setuju kaunseling awal boleh bantu
banteras masalah di sekolah, asrama
Kejadian buli bukan isu baru di negara ini, ia berlarutan dan tidak pernah selesai malah insiden dilaporkan di sekolah, asrama atau institusi pengajian tinggi (IPT) menjadi bualan orang ramai.
Perbuatan itu memberi kesan kepada mangsa, bukan sahaja kecederaan fizikal, malah ada yang berubah menjadi pendiam dan takut menceritakan pengalaman hitam kepada orang lain.
Pembuli tidak sekadar membuli atau menyebabkan mangsa trauma malah ada kes membabitkan kehilangan nyawa.
Nasib Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, pegawai kadet laut tahun tiga Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang maut akibat dibuli dan didera rakannya antara paling menarik perhatian umum.
Kes terbaru membabitkan pelajar tahfiz di Kampung
Hulu Kalong, Hulu Yam, Bukit Beruntung, Syed Khairun Hazim Syed Husain, 13, yang pecah tisu pinggang sebelah kiri, koyak tisu kanan dan lebam akibat dibuli hampir setiap hari jika permintaan senior tidak dituruti.
Menurut Pensyarah dan Pakar Psikologi Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS) Prof Datin Dr Noran Fauziah Yaakub, mangsa yang tidak berkelakuan agresif terhadap orang lain akan berubah menjadi cepat cemas dan tertekan.
Kajian Dr Noran Fauziah membabitkan 5,000 kanak-kanak di seluruh Malaysia mendapati, ada dua kes mangsa buli berniat membunuh diri.
Menerusi tinjauan Suara Maya dalam web myMetro membabitkan isu buli bertajuk #Apakah kaedah terbaik membanteras gejala buli di sekolah atau asrama? sebanyak 35.3 peratus responden bersetuju supaya mengenal pasti kaki buli di kawasan sekolah dan asrama sebagai cara untuk membanteras perkara itu.
Seramai 26.5 peratus responden lagi bersetuju gubal akta dan pinda undang-undang supaya isu ini dipandang lebih serius dan tindakan lebih berat dikenakan terhadap pembuli.
Manakala, 23.5 peratus responden menyokong pemasangan CCTV di sekolah dan asrama termasuk di kawasan yang tersorok seperti tandas, stor dan belakang bangunan tanpa pengetahuan pelajar.
Selain itu 14.7 peratus responden memilih pemantauan secara berkala dilakukan terhadap pembuli supaya tidak mempunyai ruang untuk melakukan perkara berkenaan terhadap pelajar lain.