Zeera rela korban cuti
Ketepikan lelah tugas pramugari
untuk promosi
single Kehilangan
Nurazeera Azizi atau
Zeera mungkin lebih dikenali sebagai kakak kepada pelakon Neera
Azizi. Hakikatnya, gadis berusia 22 tahun ini sudah ada single berjudul Kehilangan dan kini giat mempromosikannya.
Digubah B-Heart dan lirik ditulis mereka berdua, Zeera berkata, lagu itu mengisahkan seseorang yang melakukan kesilapan hingga ditinggalkan kekasih. Namun, cintanya tidak pernah padam dan masih berharap dipertemukan suatu hari nanti.
“Ia ada kaitan dengan diri sendiri dan B-Heart. Pengalaman masing-masing kami gabungkan menjadi lirik lagu Kehilangan.
“Sebenarnya lagu ini sudah siap ketika saya berusia 17 tahun lagi tetapi belum jumpa individu yang boleh membantu kami ketengahkannya.
“Kini, saya sudah jumpa label yang boleh menguruskan kerjaya dan bantu mempromosikan lagu Kehilangan. Saya harap ia jadi permulaan yang baik,” katanya.
Hampir dua tahun berkhidmat sebagai pramugari syarikat penerbangan Malindo
Air, Zeera bagaimanapun belum terfikir untuk meninggalkan kerjaya itu. Dia perlu memastikan karier seni kukuh terlebih dulu sebelum mengambil sebarang keputusan.
Menurut Zeera, walaupun terpaksa mengorbankan masa cutinya untuk mempromosikan lagu Kehilangan, sedikitpun tiada rasa kesal atau ralat dalam hatinya. Malahan, dia seronok melakukan dua pekerjaan itu.
“Walaupun bekerja di awan biru, tidak salah saya cuba mencari rezeki lain. Dalam keadaan sekarang, kena cari pendapatan sampingan.
“Agak penat kerana cuti saya penuhkan dengan aktiviti seni. Sebaik saja dapat jadual tugas, saya akan serahkan kepada pihak pengurusan.
Mereka akan atur perjalanan karier seni berdasarkan masa terluang itu.
“Dulu, kalau cuti saya berehat di rumah tetapi sekarang penuh dengan aktiviti promosi. Tidak mengapa, saya buat apa yang saya suka,” katanya.
Ingin fokus pada nyanyian,
Zeera bagaimanapun tidak menolak andai diberi peluang melebarkan sayap dalam bidang lakonan.
Bagaimanapun, dia mengaku belum punya keyakinan untuk beraksi di hadapan kamera.
“Buat masa ini saya ingin fokus menyanyi dulu. Lakonan mungkin boleh cuba kemudian hari. Saya belum cukup yakin untuk mencuba.
“Apapun, saya berterima kasih kepada adik iaitu
Neera kerana banyak memberikan sokongan dan berkongsi selokbelok dunia hiburan,” katanya.