Derita buruan 25 along
Lelaki hidap kanser usus bingung langsai hutang ceti haram RM250,000
Seorang lelaki bukan saja menderita akibat kanser usus tahap empat, malah bingung memikirkan cara bagaimana untuk melangsaikan hutang along kini meningkat kepada RM250,000.
Risau dikejar along lelaki hanya mahu dikenali dengan panggilan Ah Chong, berusia 52 tahun juga tidak berani keluar rumah termasuk untuk ke klinik bagi mengambil ubat.
Menceritakan kisahnya Ah Chong memberitahu, dia meminjam daripada along kerana mahu mengembangkan lagi perniagaan diusahakan, namun segala perancangannya tidak menjadi menyebabkan dia kini menanggung beban hutang yang tinggi.
“Pada mulanya saya hanya pinjam daripada seorang along, namun terpaksa buat pinjaman lain untuk langsaikan hutang terdahulu.
“Saya semakin tersepit kerana kadar faedah terus meningkat, akibatnya sekarang saya meminjam dengan 25 along berbeza,” katanya ketika ditemui, di sini.
Dakwanya, kerana menagih
hutang along berkenaan sanggup melakukan apa saja termasuk mengugut mahu mengganggu ahli keluarganya yang lain menyebabkan mereka anak-beranak kini hidup dalam ketakutan.
Katanya, along berkenaan juga mengugut mahu membakar rumahnya jika dia tidak melangsaikan baki hutang mengikut tempoh sudah ditetapkan.
Bimbang anak dan isterinya menjadi mangsa dia merujuk perkara itu kepada Perunding Masalah Ceti Haram (PMCH), Aryati Abd Razak untuk mencari jalan penyelesaian.
Sementara itu, Aryati berkata, pihaknya akan berbincang dengan along berkenaan bagi menjadualkan semula pembayaran, sekali gus memberikan lebih masa kepada mangsa untuk melangsaikan pinjamannya.
“Selain itu mangsa dinasihatkan supaya membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan diri dan ahli keluarga berikutan diugut along.
“Nasihat saya, individu mempunyai masalah berkaitan dengan along segera rujuk kepada pihak lebih arif. Mereka boleh beri nasihat membabitkan faedah bayaran dan isu berkaitan lain,” katanya.
Menurutnya, dia sudah menyelesaikan 71 kes membabitkan mangsa along sejak September 2016.