Audit keselamatan
Bangunan penting melebihi 20 tahun perlu jalani pemeriksaan
Bangunan penting seperti hospital, sekolah dan unit kediaman bertingkat terutama yang berusia lebih 20 tahun di negara ini perlu menjalani audit keselamatan.
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, audit keselamatan itu perlu dilakukan pihak berkuasa membabitkan pemeriksaan menyeluruh pendawaian elektrik di bangunan dan kemudahan yang ada.
Katanya, menerusi audit keselamatan itu, barulah sebarang ‘hazard’ atau bahaya dapat dikenal pasti.
“Pihak berkuasa yang menjalankan pemeriksaan perlu mengenal pasti tahap keselamatan termasuk bahaya kebakaran yang mungkin disebabkan pendawaian lama dan bahan binaan yang mudah terbakar.
“Audit yang dibuat bagi mengenal pasti kelemahan aspek keselamatan bangunan dan kemudahan yang ada supaya tindakan segera dapat diambil untuk memperbaikinya sekali gus mencegah berlaku kejadian tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
Lee berkata, antara semua punca bahaya kebakaran, masalah berkaitan elektrik adalah yang paling utama di Malaysia, dengan lebih daripada 5,300 kes direkodkan dari 2014 hingga 2016.
“Statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut mendedahkan 877 kes serupa dilaporkan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun lalu.
“Malah, kebakaran memusnahkan sebahagian stor Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan insiden itu boleh berlaku di bangunan penting bila-bila masa,” katanya.
Katanya, kebakaran di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, Johor, yang meragut nyawa enam pesakit termasuk empat wanita pada 25 Oktober 2016 juga berpunca daripada kebakaran pada kapasitor lampu.
Katanya, kebakaran terbaru di HKL didakwa disebabkan litar pintas dan merebak dengan cepat kerana stor itu turut digunakan untuk menyimpan banyak peralatan perubatan daripada plastik.
“Dalam insiden kebakaran di HKL semalam (kelmarin), Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman menyatakan ada dua pekerja terperangkap di stor itu.
“Namun, mereka berjaya diselamatkan selepas anggota bomba tiba di tempat kejadian jam 12.30 tengah hari.
“Jadi, saya ingin mengucapkan tahniah kepada anggota bomba dan pihak hospital kerana tindakan pantas mereka berjaya menyelamatkan mangsa terperangkap serta berjaya mengeluarkan 150 tangki oksigen disimpan di stor itu sebelum kebakaran merebak,” katanya.