Iqbal, Sukairi wira KEMPs
Dua pelumba berpengalaman bantu pasukan ungguli Kejohanan Go-Kart TNB Perlis 2018
Pelumba dari Kelab Media Perlis (KEMPs) mengungguli Kejohanan Go-Kart TNB Perlis 2018 apabila muncul juara dan naib juara dalam kejohanan yang dilangsungkan di Litar Lumba Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), baru-baru ini.
KEMPs yang diwakili 12 pelumba terdiri daripada pengamal media nyata memberi tekanan kepada 13 pemandu dari pasukan TNB Perlis bagi merangkul kejuaraan yang julung kalinya diadakan tahun ini.
Pengurus Rakan Kongsi Perniagaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perlis, Tarmizi Abdul Hamid berkata, objektif kejohanan berkenaan yang dianjurkan pihaknya bagi mengeratkan persefahaman antara pengamal media Perlis dan TNB negeri.
“Pihak TNB mengucapkan ribuan terima kasih atas penghormatan dan kerjasama diberikan pihak media Perlis dalam membuat liputan setiap program syarikat.
“Kejohanan ini secara tidak langsung dapat mengukuhkan lagi kerjasama antara KEMPs dan TNB pada masa depan,” katanya.
Pada peringkat akhir kejohanan, pasukan KEMPs bermula agak perlahan apabila ketinggalan di pusingan pertama selepas pemandu dari kumpulan TNB, Sofjowarmi Johari memecut laju meninggalkan pelumba lain.
Malah, pelumba itu dilihat bergelut untuk kekal di tempat pertama apabila mendapat saingan sengit daripada pelumba lain.
Bagaimanapun, di pusingan terakhir, dua pelumba berpengalaman KEMPs, Muhammad Iqbal Rosli dan Sukairi Azwar Kadir nyata memanfaatkan peluang dengan memintas Sofjowarmi selepas pelumba itu membuka ruang di selekoh sebelum garisan penamat hingga dia ketinggalan di tempat ketiga.