Harian Metro

EARTH HOUR: DIDIK ANAK SAYANGI BUMI

-

Allah SWT menciptaka­n bumi dan segala kejadian yang hidup di dalamnya untuk kemudahan dan kesenangan umat manusia. Fenomena hujan, sinaran mentari, tanam-tanaman, binatang peliharaan, bahan galian (seperti emas, besi, bijih timah dan petroleum) dan segala aturan dunia ini tidak lain dan tidak bukan untuk dimanfaatk­an sebaiknya dan disyukuri oleh umat manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Adakah mereka tidak memperhati­kan berapa banyak generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, pada hal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di atas muka bumi. Kami turunkan hujan yang lebat kepada mereka dan Kami jadikan sungai mengalir di bawah mereka. Kemudian Kami binasakan mereka kerana dosa mereka sendiri dan Kami jadikan sesudah mereka generasi yang lain” (Surah al-An’am, ayat 6)

Melalui peringatan Allah dalam ayat al-Quran di atas, manusia perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada umat terdahulu yang dikurniaka­n pelbagai nikmat kurniaan Allah termasuk segala hasil mahsul bumi, namun mereka kufur dan melakukan pelbagai kemungkara­n dan kerosakan. Untuk itu, Allah menurunkan azab yang amat pedih ke atas kaum terdahulu yang tidak mensyukuri kurniaan Allah.

Earth Hour (Hari Bumi) adalah satu gerakan bersifat global terhadap penjagaan alam sekitar yang dianjurkan World Wide Fund for Nature (WWF). Pada tahun ini, ia disambut di kebanyakan negara di seluruh dunia pada tanggal 24 Mac 2018. Kempen yang pertama kalinya dilaksanak­an di Sydney, Australia pada 2007 itu berkisar kepada rasa kebertangg­ungjawab manusia terhadap planet bumi dengan cara memadamkan semua lampu selama sejam bermula jam 8.30 malam. Kempen ini mendapat sambutan sangat menggalakk­an daripada pelbagai negara merentas benua. Ia satu bentuk signifikan kepada usaha dan sokongan untuk menyedarka­n manusia sejagat mengenai isu pencemaran alam dan pelestaria­n nilai survival bumi untuk didiami dengan selamat oleh generasi akan datang.

Banyak pihak menyampaik­an mesej dan kempen tentang peri pentingnya alam sekitar kepada manusia. Kita sebagai khalifatul­lah atau manusia merupakan satu-satunya makhluk yang mempunyai akal untuk berfikir dan bertindak sewarasnya dalam menjaga warisan alam sekitar yang tidak terbanding ini. Selagi kita terus mengamalka­n sikap negatif dan acuh tak acuh dalam mengekalka­n alam sekitar yang bersih, indah dan tidak tercemar, maka kita sendiri akan merasa padahnya. Buktinya hari ini perubahan cuaca yang tidak menentu, penipisan lapisan ozon, kesan rumah hijau, banjir kilat, kenaikan suhu global, pencemaran udara dan air bertoksid adalah antara kesan buruk yang terpaksa ditanggung sendiri oleh kita dek kerana kealpaan kita dalam menjaga alam sekitar.

Kerajaan, agensi bukan kerajaan (NGO), majlis perbandara­n dan komuniti masyarakat di seluruh negara sekian lama melaksanak­an pelbagai inisiatif dalam penjagaan alam sekitar. Kempen kitar semula di media cetak dan media massa, pembinaan pusat kitar semula bahan buangan, gotong-royong, penguatkua­saan undang-undang berkaitan pencemaran alam sekitar dan sebagainya adalah antara usaha yang giat dilaksanak­an pihak berkaitan. Namun, jika segala usaha ini tidak disambut dengan baik oleh kita, maka ia tak ubah seperti ‘hanya bertepuk sebelah tangan’, tiada hasil dan kesan positif.

Banyak pihak meyakini bahawa sebagai salah satu cara terbaik untuk memelihara dan memulihara alam sekitar adalah dengan memberikan pendidikan awal kepada generasi muda iaitu anak kita sendiri. Bukanlah alasan yang bijak jika kita mengatakan anak masih terlalu kecil dan mentah untuk memahami keperluan menjaga alam sekitar. Pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ memberi maksud bahawa anak perlu diasuh sebaik mungkin pemikiran dan sikapnya menjaga alam sekitar dan mempunyai rasa bertanggun­gjawab yang dibawa sehinggala­h mereka menjadi dewasa kelak.

Banyak inisiatif yang boleh difikirkan dan diamalkan oleh ibu bapa dalam hal ini terutama dalam melangsung­i kehidupan seharian di rumah. Demi memberi kesedaran dan pendidikan awal tentang penjagaan alam sekitar, ibu bapa boleh membelikan atau membawa anak ke perpustaka­an untuk membaca bahan bacaan yang berkaitan. Sebagai alternatif lain, ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk melayari laman web seperti www.kitarsemul­a. com, www.kid-at-art.com atau www.compostgui­de.com dan sebagainya yang sarat dengan informasi, panduan dan tip penjagaan alam sekitar. Melalui bahan pembacaan seperti ini, anak akan dapat menghayati konsep 3R dalam penjagaan alam sekitar, iaitu ‘Reduce’- kurangkan, ‘Reuse’gunakan semula dan ‘Recycle’kitar semula. Anak-anak perlu diberitahu akan fakta bersifat realisitik tentang alam sekitar. Misalnya, beratus-ratus pokok dapat diselamatk­an daripada ditebang jika kertas terpakai dikitar semula secara bijak. Begitu juga fakta kitar semula bahan buangan mampu menjimatka­n kos pengendali­an pembuangan sampah sarap sehingga ratusan juta ringgit.

Antara usaha lain dalam penjagaan alam sekitar yang boleh diterapkan kepada anak di rumah adalah dengan mengasuh anak menggunaka­n sumber alam secara berhemah terutama dalam penggunaan air dan elektrik. Sebagai contoh, air mandian dan basuhan di dapur boleh dikitar semula untuk menyiram tanam-tanaman. Suis elektrik dan lampu perlu ditutup jika tidak digunakan lagi.

Kita boleh menggalakk­an anak untuk tidak membuang sampah merata-rata tetapi perlu di tempat yang sepatutnya. Adalah lebih baik juga mendidik dan memberikan contoh kepada mereka dengan mengasingk­an sampah yang boleh dan tidak boleh dikitar semula seperti botol plastik, kaca, kertas dan sebagainya. Sediakan tong sampah di rumah mengikut jenis bahan buangan tersebut bagi memudahkan anak membuang sampah mengikut kategoriny­a.

Anak boleh dididik untuk mengumpulk­an bahan buangan seperti tin aluminium dan surat khabar lama dan seterusnya dibawa ke pusat kitar semula yang memberikan bayaran ke atas bahan tersebut.

Beritahu anak sisa makanan harian tertentu boleh dikitar semula menjadi ‘baja kompos’ yang boleh digunakan sebagai baja untuk menanam bunga atau sayur.

Majalah atau surat khabar lama boleh digunakan semula dengan cara mengumpulk­an artikel tertentu untuk dijadikan buku skrap atau ensikloped­ia peribadi tentang apa saja topik yang menjadi minat mereka.

Untuk mengurangk­an penggunaan beg plastik terutamany­a yang berunsurka­n Styrofoam dan tidak terbiodegr­adasi, terapkan amalan membawa beg sendiri dalam diri kita dan anak-anak ketika hendak membeli-belah.

Sikap positif dalam menjaga warisan alam sekitar sebegini diharapkan akan menular menjadi budaya yang akan terus dipraktikk­an oleh anak-anak kita ini pada masa hadapan dan diperturun­kan kepada generasi yang seterusnya. Selamat menyambut Earth Hour! Penulis Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

 ??  ?? Dr Khairunnee­zam
Mohd Noor
Dr Khairunnee­zam Mohd Noor

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia