Harian Metro

Lelaki menyamar polis peras ugut pengurus

-

Petaling Jaya: Kaki ‘pau’ berusia 30-an ditahan selepas dia yang menyamar sebagai anggota polis memeras seorang pengurus tapak pembinaan didakwa menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) di sebuah tapak pembinaan di Jalan Templer, di sini, jam 12.30 tengah malam, Jumaat lalu.

Namun, suspek ditahan bersama RM50 diberikan pengurus terbabit sekitar tapak pembinaan berkenaan selepas mangsa melaporkan perkara itu kepada polis.

Menurut sumber polis, suspek ketika itu memakai baju biasa namun warna dan potongan seluarnya menyamai pakaian Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sumber berkata, suspek yang menunggang motosikal memasuki kawasan tapak pembinaan itu lalu meminta untuk berjumpa dengan pengurus berkenaan.

“Lelaki itu mengaku dia bertugas di Balai Polis Seapark dan tujuannya ke tapak pembinaan itu untuk melakukan pemeriksaa­n susulan aduan daripada seorang wanita yang kononnya melihat ada warga Bangladesh dalam keadaan mencurigak­an di situ.

“Suspek meminta pengurus terbabit mengemukak­an dokumen pengenalan diri pekerjanya untuk disemak. Selepas melakukan semakan suspek mendakwa pasport pekerja asing itu adalah palsu.

“Dia meminta wang RM50 daripada pengurus terbabit sebagai syarat untuk tidak mengambil tindakan lanjut dan mangsa setuju untuk membuat bayaran,” katanya.

Namun, mangsa yang curiga dengan gelagat suspek kemudian menghubung­i polis untuk memaklumka­n kejadian itu sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan susulan memburunya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi mengesahka­n penahanan lelaki terbabit yang kini ditahan reman bagi membantu siasatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia