Harian Metro

Amirul Haniff tunjuk taring

- Naqib Nor Said naqib@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Amirul Haniff Mamat - ingat nama ini!

Penyerang berusia 15 tahun itu menunjukka­n potensi besar sewaktu membantu Perak mengatasi Johor 5-3 menerusi penentuan penalti pada final Kejohanan Hoki Bawah 16 Tahun (B-16) Kebangsaan.

Pada aksi yang berkesudah­an 1-1 selepas masa permainan sebenar, Amirul

(gambar) yang muncul antara enam pemain paling muda dalam pasukan Perak nyata memberi impak cukup berkesan sepanjang 60 minit permainan.

Beberapa lariannya berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan Johor terutamany­a dalam 45 minit pertama aksi, malah dia yang sebelum ini dijulang sebagai wira ketika Perak menjuarai Kejohanan B-14 Kebangsaan, Disember lalu turut dilihat memiliki kemahiran menggelece­k yang tinggi.

Kelibat dan cara dia beraksi turut mengingatk­an semula kepada penyerang sensasi negara Faizal Saari ketika berusia 15 tahun memiliki ketenangan, penyudah tajam dan larian pecut meninggalk­an pertahanan yang begitu luar biasa.

Justeru, bukan sesuatu yang mengejutka­n sebaik berakhir aksi final semalam kelihatan Pengarah Pembanguna­n 1 Mas, Tai Beng Hai cuba mendekatin­ya mungkin bagi diserap ke dalam pasukan remaja B-16 kebangsaan untuk ke Jerman.

Amirul ketika ditemui berkata, memang menjadi harapannya untuk terpilih ke Jerman bagi mewakili pasukan B-16 negara yang akan mengambil bahagian pada kejohanan jemputan Empat Negara di Mannheim.

“Memang saya amat gembira dengan kejayaan membantu Perak mengekalka­n gelaran Kejohanan B-16 Kebangsaan ini buat tahun kedua berturut-turut.

“Saya berharap dengan kejayaan ini mampu membuka peluang untuk terpilih ke Jerman selain menjadi permulaan baik kepada saya memenuhi impian beraksi buat skuad

Piala Sultan Johor negara,” katanya yang turut menjadikan Faizal sebagai idolanya.

Selain Amirul, beberapa rakan pasukannya seperti Zulhanif Sahran dan Firdaus Khairizan juga memperagak­an potensi yang baik, di samping pemain sayap kanan Johor, Alfarico Lance yang dinobat selaku pemain terbaik perlawanan akhir.

Turut tidak ketinggala­n pemain terbaik kejohanan Amirul Aiman Ariffin yang membantu Melaka meraih tempat ketiga dan juga beberapa pemain dari Pulau Pinang dan Pahang.

Apapun, generasi pemain Kejohanan B-16 Kebangsaan kali ini membuktika­n betapa Malaysia tidak pernah ketandusan bakat hoki dan tidak mustahil mereka berpeluang mengulangi pencapaian skuad Projek 2013 yang menduduki tangga keempat pada Piala Remaja Dunia.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia