Harian Metro

‘Perlawanan amal tetap berlangsun­g’

- Malik Muhamad sukanteam@nstp.com.my

Kuala Terengganu: Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Negeri Terengganu (PBPBTRG) tetap akan meneruskan perlawanan amal khas buat arwah Mohd Raimi Mohammed Jamil bertemu Kerteh Kemasik Old Star di Padang Awam Kerteh Kemaman pada jam 5 petang, 31 Mac ini.

Presiden PBPBTRG, Mat Sedek Wahab berkata, walaupun legenda bola sepak negara sudah pergi buat selama-lamanya, perlawanan itu tetap akan diadakan.

“Sebelum ini kita berhajat untuk menyalurka­n sumbangan yang bakal diperoleh kepada bekas penjaga gol Terengganu itu yang ketika itu selesai menjalani pembedahan.

“Tapi selepas Raimi pergi meninggalk­an kita, persatuan akan menyalurka­n dana terbabit kepada balunya, Rinawati Halan yang kini menjaga dua anaknya yang berusia 13 dan 14 tahun.

“Kami berharap masyarakat dapat bersama-sama menyumbang mengikut kemampuan masing-masing bagi meringanka­n beban ditanggung keluarga arwah Raimi,” kata Mat Sedek yang juga bekas pemain Terengganu era 90-an.

Legenda bola sepak negara yang memiliki sepasang 'tangan emas' itu menghembus­kan nafas terakhir pada petang Jumaat lalu selepas bertarung nyawa selama 11 hari susulan pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada 13 Mac lalu.

Mat Sedek berkata, sebagai bekas pemain yang pernah menabur bakti kepada skuad Penyu, persatuan berasa simpati dengan nasib menimpa keluarga Raimi yang kini menumpang sementara di rumah keluarga angkatnya di Kampung Kesom Che Nordin Manir, dekat sini, kerana tidak memiliki rumah.

“Oleh sebab itu dengan adanya perlawanan persahabat­an ini sekurang-kurangnya dapat membantu balu dan dua anaknya,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia