Harian Metro

Pil kuda musnah impian bergelar atlet

-

Kuala Lumpur: “Ketagih pil kuda memusnahka­n impian besar menjadi atlet lari pecut. Masa depan saya hancur akibat gila pil kuda,” ujar remaja, Khairul, 17, yang terjebak dengan penagihan dadah sejak berusia 13 tahun.

Ketika berbicara episod gelap hidupnya, dia yang sudah dua kali menjalani program pemulihan di Rumah Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH) berkata, rakannya yang lebih tua mendedahka­n dirinya kepada keseronoka­n pil kuda.

“Dadah pertama yang saya cuba adalah pil kuda, saya banyak bergaul dengan kawan yang lebih berusia. Saya dapati mereka begitu mudah mendapatka­n bekalan pil kuda.

“Ketika itu saya rasa agak seronok, masa banyak dihabiskan dengan melepak sehingga lewat malam.

“Malah saya juga menjadi malas membabitka­n diri dengan aktiviti sukan, padahal semasa di sekolah, saya adalah atlet lari pecut yang mewakili daerah,” katanya.

Menurutnya, dia bagaimanap­un ditahan polis dan dimasukkan ke pusat PENGASIH ketika berusia 14 tahun.

“Saya sering bertengkar dengan ibu bapa hingga tergamak memukul mereka. Mungkin kerana itu mereka nekad melaporkan kegiatan saya kepada polis,” katanya

Khairul berkata, selepas 10 bulan menjalani rawatan pemulihan, dia dibebaskan dan kembali ke pangkuan keluarga.

“Namun saya kembali menagih semula. Kali ini bukan setakat pil kuda, malah saya mencuba dadah jenis syabu.

“Ia berlaku pada hari raya Aidilfitri apabila saya berjumpa kawan lama. Habis duit raya saya digunakan untuk membeli pil kuda, syabu, ubat batuk dan pil Eramin.

“Akibat ketagihan saya yang kian melampau, ibu bapa saya sekali lagi menghantar saya ke PENGASIH. Sehingga hari ini saya masih berada di sini untuk mengikuti program pemulihan,” katanya.

Bagaimanap­un, berbeza sewaktu kali pertama, dia kini lebih insaf dan mahu mengubah diri.

“Saya ingin mengejar cita-cita saya untuk menjadi juruterban­g, ada pesanan ayah yang amat memberi kesan kepada saya.

“Dia berkata ‘kalau ayah sudah tiada nanti, siapa yang nak jaga adik-adik’. Ayat itu membuatkan mahu berubah untuk menjaga tiga adik berusia lapan, sembilan dan 16 tahun,” katanya.

Sementara itu seorang lagi remaja, Ashakim, 18, mengakui persekitar­an dan keluarga menjadi antara faktor dia terjerumus dalam gejala penagihan dadah.

“Saya tidak pernah mengenali atau berjumpa dengan bapa. Ibu pula bekerja di luar negara. Saya dibesarkan oleh datuk dan nenek.

“Di tempat asal saya pula memang terkenal dengan masalah dadah. Pada mulanya saya beli dadah dengan wang saku diberi datuk dan nenek.

“Bila tidak cukup wang, saya mencuri. Saya tidak hadir ke sekolah. Biasanya selepas perhimpuna­n saya lari panjat tembok sekolah.

“Namun sekarang saya mahu ubah hidup saya. Saya teringin nak bantu ibu, nak jaga dia sampai hari tua.

“Bukan saya hendak salahkan sesiapa, tetapi saya harap masyarakat akan lebih prihatin dengan masalah dadah di kawasan mereka, ambil tahu,” katanya.

>>Seramai 411 pelajar positif dadah antara Januari hingga Februari lalu

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia