Harian Metro

1,829 murid pelajar terbabit penagihan dadah

-

Kuala Lumpur: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengenal pasti 1,829 murid sekolah rendah dan menengah di 178 sekolah seluruh negara terbabit dengan aktiviti penagihan dadah menerusi statistik dikumpul agensi itu sejak Januari 2017 hingga Januari 2018.

Jumlah itu diperoleh selepas 370,285 pelajar diarah menjalani program saringan air kencing peringkat sekolah.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Dr Abdul Halim Mohd Hussin berkata, banyak faktor perlu dipertimba­ngkan jika ingin menyentuh punca mengapa wujudnya jumlah agak ketara kes penagihan dadah di kalangan pelajar.

Katanya, apa yang lebih penting adalah melihat ia daripada sudut lebih positif dan fokus kepada usaha menangani masalah berkenaan.

“Jumlah itu diakui memang nampak ketara. Pelbagai faktor boleh menjadi punca mengapa ia berlaku, malah mungkin sebelum ini kita tidak pernah mencari mereka (pelajar terbabit dadah).

“Apabila Kementeria­n Pendidikan sudah mula tegas, mereka keluarkan amaran supaya masalah ini tidak disembunyi­kan di peringkat sekolah.

“Kita dapat lihat ada pertambaha­n kes. Selain itu faktor lain juga turut menyumbang seperti pertambaha­n jumlah penduduk dan jumlah pelajar.

“Biar kita dapat kesan ramai pelajar yang terbabit dadah, daripada kita tidak jumpa mereka yang terbabit, tetapi mereka wujud. Bila kita jumpa, kita boleh beri rawatan awal sebelum mereka bertukar menjadi penagih tegar,” katanya kepada wartawan.

Selain itu AADK perlu mengkaji punca sebenar mengapa golongan muda itu menagih dadah.

“Daripada rekod kita, majoriti penagih dadah remaja ini terbabit berpunca mengikut kawan. Ada juga disebabkan keadaan persekitar­an dia dibesarkan malah ada juga yang disebabkan oleh isu keluarga.

“Selepas kita kenal pasti punca, kita akan rangka program rawatan untuk mereka. Jika puncanya adalah keluarga, kita akan babitkan sekali ibu dan bapa.

“Di sekolah pula guru-guru kaunseling diberikan panduan bagaimana untuk membantu rawatan di sekolah,” katanya.

Kelmarin Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon mendedahka­n seramai 411 pelajar sekolah menengah positif dadah dalam ujian saringan air kencing yang dijalankan pada Januari hingga Februari lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia