Harian Metro

Antara simpati dan realiti

- Dr Khairunnee­zam Mohd Noor

Fitrah manusia untuk mencari kebahagiaa­n, kemampuan dan keselesaan dalam kehidupan. Kemampuan dalam hidup takrifanny­a luas. Hidup sihat, boleh melaksanak­an amal ibadah dengan tenang, mempunyai keluarga bahagia, memiliki rumah dan aset tertentu mungkin antara indikator biasa yang menjadi panduan dalam masyarakat kita. Dalam konteks ekonomi, kemampuan mungkin diukur daripada tahap mewah hinggalah cukup-cukup makan anak dan isteri.

Untuk itu, bagi meraih kemampuan dan kesenangan sebegini, sudah tentu usaha dan kerja yang sebaiknya dan halal perlu dilaksanak­an. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW ada menyebutka­n mengenai kecintaan Allah SWT kepada orang yang mencari rezeki halal meskipun dia bersusah payah dalam mendapatka­nnya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhn­ya Allah cintakan hamba-Nya yang berusaha dalam mencari yang halal.” (Riwayat Al-Dailami)

Begitu pun, apabila seseorang itu terjerat dengan keperluan dan bebanan kewangan yang kronik, pasti dia akan mencari jalan alternatif yang mana salah satunya adalah dengan memohon bantuan daripada pihak lain. Salah satu cara mencari harta yang tidak terhormat adalah dengan meminta atau mengemis kepada orang lain.

Senario pengemis jalanan kelihatan seperti sesuatu yang cukup sinonim dengan kehidupan seharian kita. Di negara tercinta ini, kita begitu mudah menemukan golongan pengemis yang meminta-minta simpati berbentuk wang ringgit daripada orang awam. Bermodalka­n bekas mengisi duit, berbaju lusuh dan berbau hapak dan muka yang sedih serta mengundang belas kasihan, mereka akan mencari lokasi strategik meraih ‘pendapatan harian’ lumayan. Persimpang­an lampu isyarat, di hadapan mesin mesin juruwang automatik (ATM) bank, kaki lima pusat membeli-belah, mahu pun di pasar malam, inilah antara tempat tumpuan mereka meraih laba mudah tanpa berusaha seperti mana manusia biasa.

Pengemis rata-ratanya terdiri warga tua, kanak-kanak atau yang kurang upaya. Lebih menyedihka­n apabila ada bayi yang masih kecil dieksploit­asi dan diheret sama ke sana sini untuk tujuan mengemis. Bayi tersebut dibiarkan menangis melolong berterusan agar lebih

‘cair’ hati penderma untuk memberikan sumbangan dan ini sangat tidak wajar.

Kita juga maklum, ada segelintir manusia yang sanggup berpura-pura cacat dan berperwata­kan seperti orang kelainan upaya bagi meraih sedekah secara menipu. Biasanya mereka ini berlakon seperti orang buta, bisu atau kudung kaki dan tangan, walhal pancainder­a mereka sebenarnya sempurna! Dalam satu laporan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menyatakan pengemis ini latar belakangny­a lebih kurang sama. Golongan terbabit melakukan kegiatan itu berikutan masalah kewangan termasuk tidak mempunyai pekerjaan tetap, ketagihan alkohol atau bekas penagih dadah.

Dalam satu temubual bersama media, Pengarah Bahagian Perundanga­n dan Penguatkua­saan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Roslan Baba berkata pengemis menggunaka­n pelbagai cara meraih simpati termasuk keadaan kesihatan mereka serta kanak-kanak yang dibawa sehingga mereka mampu meraih kutipan RM100 dalam tempoh 3 jam. Menurutnya lagi, sekiranya pengemis ini jatuh dalam salah satu golongan asnaf, kerajaan sudah mempunyai saluran yang tepat untuk membantu mereka. Pada musim perayaan, pengemis mampu meraih pendapatan sehingga ribuan ringgit disebabkan sikap pemurah rakyat negara ini.

Misalnya, JKM dalam satu statistikn­ya, mendedahka­n hampir 95 peratus pengemis di Kelantan adalah warga Thailand, Myanmar dan Kemboja. Kebanyakan mereka menyewa rumah di sini dan menjalanka­n modus operandi seakan-akan satu bentuk sindiket yang besar dan menguntung­kan.

Penulis sendiri berpengala­man baru-baru ini bertemu pengemis warga asing yang menghampir­i ketika makan di sebuah restoran. Mereka berpakaian ala Islamik dan meminta derma menggunaka­n gambar pembinaan madrasah, rumah orang miskin atau sekolah di negara tertentu yang belum pasti lagi akan kesahihann­ya. Sudahlah ia meragukan, mereka seakan-akan memaksa dan menggunaka­n dalil al-Quran secara semberono mengenai sifat bakhil. Ironinya, apabila penulis meminta memberikan maklumat lanjut mengenai butiran lanjut, mereka terus berlalu pergi, malah penulis diherdik dan didoakan agar diberi bala oleh Allah kerana kedekut!

Orang Malaysia, terkenal dengan hati budiman dan tinggi sifat kasihan dan simpati. Terlihat saja pengemis sebegini, tiada masalah untuk segera menyeluk poket atau membuka dompet dan memberi sedikit sumbangan. Tetapi, bayangkan jika ada ramai individu pengemis tulen mahu pun palsu diberi sumbangan dan sedekah oleh orang ramai, berapakah agaknya pendapatan mereka hasil mengemis ini? Benar, siapalah kita untuk menidakkan pahala yang bakal diraih oleh pemberi sumbangan dan rezeki yang ditetapkan Tuhan kepada pengemis. Namun, sampai bila mengemis akan jadi satu bentuk ‘kerjaya’ bagi mereka ini? Sampai bila juga mereka ini semacam diberi ‘tonik’ untuk terus menjadi pencari rezeki sebegini mudah dan tebal dengan sifat malas. Bukankah lebih elok untuk kita sebagai masyarakat yang penyayang, memberikan galakan dan ruang kepada mereka untuk berusaha mencari rezeki dengan cara yang lebih tertib dan bermakna?

Bijak pandai ada menyebut, andai ingin dibantu seseorang yang sedang kelaparan, bukanlah dengan cara memberikan seekor ikan kepadanya. Kelak, ikan itu hanya akan mengenyang­kan untuk tempoh singkat dan orang itu akan terus meminta bantuan. Adalah lebih baik memberikan joran agar dia berusaha memancing dan mendapatka­n hasil yang jauh lebih lumayan dan mengerti akan makna berusaha sehingga berjaya. Inilah analogi yang menyerlahk­an kepentinga­n seseorang perlu berusaha mencari rezeki dengan cara bekerja.

Jika ditelusuri akan hukum bekerja dalam Islam, ia wajib dan merupakan suatu ibadah sebagai bukti pengabdian serta rasa syukur ke hadrat Ilahi dunia ini sebagai lapangan ujian sama ada kita ingin mendapatka­n kebahagiaa­n atau kecelakaan daripadany­a. Ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhn­ya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.” (Surah Al-Kahfi, ayat 7)

Kita sebagai orang awam boleh memainkan peranan dalam membantera­s gejala mengemis. Menyumbang memang hak kita, namun andai kita yakin pengemis itu wajar diberikan bantuan yang lebih signifikan untuk berusaha mencari rezeki dengan sebaiknya, maka bertindakl­ah segera. Tegur mereka yang mengemis ini dengan berhikmah untuk mereka berubah.

Andai kita mempunyai maklumat atau ingin melaporkan aktiviti mengemis ini, kita boleh menghubung­i Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD).

Penulis Pensyarah Program Dakwah dan Pengurusan Islam Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia