Harian Metro

Wawasan DJ muda

- Georgie Joseph georgie@hmetro.com.my

Jika melihat profil kerjaya DJ duo bergelar BATE ini, pencapaian mereka sebenarnya cukup mengagumka­n.

Bukan sekadar menjadi antara DJ tempatan yang sangat berpengaru­h,

Yeoh Wai Hong dan Ethan Curzon mendominas­i bidang itu di sini sejak

2011.

Malah, mereka juga sentiasa diundang ke acara muzikal di luar negara.

Menurut Wai Hong, mereka masih bertahan dan memperjuan­gkan muzik tari elektronik (EDM) tempatan kerana peminatnya ramai.

Bagaimanap­un, dia tidak menafikan mentaliti segelintir warga tempatan menjadi kekangan untuk DJ tempatan lebih dihargai.

“Sejak 2011, sokongan peminat tempatan sememangny­a tidak pernah putus terhadap kami. Memang ramai pengikut muzik EDM di sini dan tidak dinafikan mereka antara peminat yang terbaik.

“Kami melihat penerimaan terhadap muzik sebegitu memang sangat positif di sini. Cuma, sukar mengadakan festival untuk memartabat­kan EDM buat masa sekarang.

“Bukan tiada sokongan, tetapi ada segelintir masyarakat kita yang berasakan bakat tempatan tidak hebat mana. Padahal, ramai saja DJ kita yang setaraf DJ antarabang­sa dan itulah antara cabaran besar untuk golongan seperti kami,” katanya.

Terbaru, BATE mengambil keputusan melangkah setapak lagi dalam karier mereka apabila memilih untuk menjadi artis naungan Universal Music Malaysia.

Bagi mereka, ia adalah peluang keemasan bagi mengembang­kan nama.

“Kami memang ternanti-nanti peluang sebegini yang boleh meluaskan lagi capaian dan jaringan BATE. Lagipun, syarikat rakaman itu pun memang mahu jadikan kami sebagai ikon EDM tempatan.

“Mengambil kira jenama dan pengaruh Universal Music, kami yakin selepas ini impian untuk menakluk pengikut muda atau remaja bakal tercapai. Kami mahu menjadi inspirasi kepada bakat DJ muda supaya berani mengejar impian mereka,” katanya.

Berkongsi mengenai hala tuju muzik mereka, Ethan berkata, keputusan mereka memilih muzik lebih ke arah pop sejak bermula dulu adalah sangat membanggak­an.

Dia juga menafikan mereka mula membuat lagu berunsur pop disebabkan mahu memenuhi pasaran semata-mata dan bukan ikut kehendak hati.

“Ramai yang bertanyaka­n perkara itu dan kami dianggap membuat lagu hanya sekadar mahu kekal relevan dan bukannya berkarya. Hakikatnya tidak kerana memang dari dulu kami menetapkan mahu ada unsur pop dalam lagu.

“Tidak sangka muzik EDM sekarang pun memang ke arah muzik pop seperti mana dilakukan DJ antarabang­sa seperti Martin Garrix. Lebih mengujakan, hala tuju begitulah yang semakin besar pengaruhny­a ketika ini,” katanya.

Bukan sekadar mahu dikenali di sini, BATE juga perlahan-lahan mengatur strategi membina nama di peringkat antarabang­sa.

Baru-baru ini, mereka melancarka­n lagu One I Love hasil kerjasama dengan penyanyi rap dari Amerika Syarikat iaitu Radio3000 dan penyanyi meningkat naik dari Australia, Blake Rose.

“Kami berharap lagu itu berjaya menembusi pasaran antarabang­sa. Kami melihat kerjasama itu sebagai pembuka jalan untuk meluaskan jaringan peminat dari luar negara pula.

“Bekerja dengan mereka memang sangat mudah. Selalunya kami mencipta lagu yang ada vokal sambil membayangk­an bunyi dan bagaimana penyampaia­n penyanyi berkenaan kelak.

“Tapi, dengan mereka, ia seperti sangat sempurna dan pemilihan dua penyanyi berkenaan sangat tepat,” katanya.

Pernah membuat persembaha­n di luar negara seperti Korea Selatan dan Thailand, BATE juga pernah berkongsi pentas dengan bintang

EDM antarabang­sa seperti Calvin Harris, Tiesto, Zedd, Axwell, dan Deadmau5.

 ?? FOTO ?? BATE yang dianggotai Ethan (kiri) dan Yeoh.
FOTO BATE yang dianggotai Ethan (kiri) dan Yeoh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia