Gajet perosak mata pelajar
Kuala Lumpur: Penggunaan gajet elektronik terlalu lama dikesan antara faktor yang menyumbang kepada masalah penglihatan dalam kalangan pelajar sekolah.
Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon berkata, punca lain termasuklah faktor keturunan serta penyakit seperti amblyopia dan trauma atau kecederaan pada mata.
“Tahun lalu, data menunjukkan 6.3 peratus pelajar tahun satu mempunyai masalah penglihatan manakala 4.1 peratus bagi pelajar tahun enam dan 2.7 peratus bagi pelajar tingkatan tiga, setelah diperiksa melalui perkhidmatan kesihatan sekolah.
“Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan sentiasa memastikan kesihatan pelajar dipelihara, termasuk memberi pendidikan kesihatan berkaitan penjagaan mata.
“Saringan pemeriksaan mata dilakukan secara berkala pegawai kesihatan, dan pelajar mempunyai masalah penglihatan akan dirujuk dan diberi rawatan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Datin Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) yang bertanyakan peratusan kadar kerosakan penglihatan dalam kalangan pelajar sekolah pada tahun lalu dan faktor yang menyebabkannya berlaku.