Pentas raih maruah
Maciel yakin City Boys lebih bersedia hadapi Selangor selepas aib dalam perlawanan lalu
Fabio Maciel menganggap aksi suku akhir Piala FA pada 6 dan 21 April ini adalah pentas terbaik buat Kuala Lumpur menebus kekalahan 0-2 kepada Selangor sambil melaungkan amaran pasukan kendaliannya lebih bersedia kali ini.
Selepas kecundang kepada musuh setempat Lembah Klang itu dalam perlawanan sulung Liga Super pada 4 Februari lalu, Maciel memang menunggu masa yang sesuai untuk menebus kekecewaan kerana tidak berpuas hati dengan kekalahan itu.
“Saya sukar menerima kekalahan itu kerana berdasarkan persembahan kami, Kuala Lumpur tidak layak untuk kalah kepada Selangor. Kami menguasai perlawanan, cuma gagal menjaringkan gol.
“Saya gembira kami memperoleh peluang untuk menebus kekecewaan itu, lebih bermakna kerana pertaruhan kali ini adalah slot ke separuh akhir Piala FA.
“Selepas mengharungi tujuh perlawanan secara keseluruhannya, termasuk dua perlawanan Piala FA, saya boleh katakan kami kini lebih bersedia untuk berdepan Selangor berbanding perlawanan pertama dulu,” ujar Maciel.
Jurulatih dari Brazil itu berkata, selepas membentuk keserasian, pasukannya mula menemui rentak dengan menewaskan Kedah (4-3) dalam Liga Super disusuli kemenangan dramatik melalui sepakan penalti ke atas Melaka yang membawa mereka ke suku akhir Piala FA.
“Saya yakin pemain Kuala Lumpur kini mempunyai mental kuat selepas mampu mengharungi perlawanan selama 120 minit dengan hanya 10 pemain ketika kami mengalahkan Melaka.
“Paling menggembirakan apabila Guilherme (De Paula) kembali menemui sentuhan jaringan. Dia membuktikan keyakinan saya terhadapnya bukan sia-sia.
“Malah panggilan untuk Zaquan (Adha Radzak) menyertai skuad kebangsaan juga satu suntikan moral bukan saja kepadanya malah keseluruhan pasukan,” katanya.
“Kami lebih bersedia berdepan Selangor kali ini namun ia bukan perlawanan mudah kerana pasukan itu turut membuat kejutan apabila mengalahkan Terengganu di tempat lawan pada pusingan ketiga Piala FA.
“Ia membuktikan Selangor bukan calang-calang pasukan serta tidak boleh diambil mudah. Sudah pasti kemenangan ke atas Terengganu itu turut melonjakkan semangat mereka” jelas Maciel.