KEM BUANG LALOK
Seramai 182 penagih dadah baru dan masih muda menjadi kumpulan pertama menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai salah satu kaedah pemulihan yang lebih komprehensif. Kumpulan istimewa ini menjalani program yang dikhaskan untuk mereka tanpa pelatih lain di Kem PLKN Setia Ikhlas, Semenyih, Selangor, selama dua bulan, lapor Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Fazrik Kamarudin
182 penagih baru kumpulan pertama jalani PLKN sebagai inisiatif rawat hamba dadah
Kajang
Seramai 182 penagih dadah baru dan masih muda menjadi kumpulan pertama yang menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai salah satu kaedah pemulihan yang lebih komprehensif.
Sudah sebulan kumpulan pelatih istimewa PLKN ini menjalani program berkenaan yang dikhaskan untuk mereka saja tanpa ada pelatih lain di Kem PLKN Setia Ikhlas, Semenyih di sini.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, 182 penagih dadah terbabit berusia 19 hingga 35 tahun dan dipilih di bawah Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK).
Menurutnya, RPDK dilaksanakan melalui dua fasa dengan fasa pertama memerlukan pelatih menjalani orientasi di kem PLKN selama dua bulan.
“Kemudian pelatih akan ditempatkan di komuniti ma- sing-masing untuk menjalani rawatan dan pemulihan selama 10 bulan,” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan kerja di PLKN Setia Ikhlas, Semenyih di sini, semalam.
Hadir sama pada lawatan itu ialah Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Mohmed Asri Yusof.
Alwi berkata, program itu juga dapat mengurangkan stigma negatif masyarakat terhadap individu yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah melalui pembabitan secara langsung dengan komuniti.
“Program ini membantu meningkatkan pembabitan komuniti dalam menangani masalah penagihan dadah dan membanteras dadah secara holistik.
“Sokongan daripada komuniti mampu meningkatkan keyakinan diri pada penagih yang berusaha untuk pulih, ” katanya.
Menurutnya, pelatih terbabit dipilih melalui beberapa saringan antaranya saringan kesihatan, penagih baru yang dikesan dan penagih yang menjalani pengawasan AADK.
“Pelatih juga hendaklah berusia 19 hingga 35 tahun dan pelatih dipilih daripada lelaki saja,” katanya.
Sementara itu, seorang penagih yang mengikuti program itu, Ilyas, 19, berkata, dia amat teruja untuk menjalani latihan di pusat PLKN bersama rakan-rakan lain.
Dia yang sebelum ini ditahan kerana menagih syabu bersyukur kerana bakal menjalani proses pemulihan yang dianggap lebih bersifat mesra dan menarik.
“Saya yakin kaedah ini dalam memulihkan sahsiah diri saya selain membentuk perwatakan positif melalui latihan yang bakal saya lalui.
“Saya mahu lupakan dadah dan kembali semula kepada masyarakat dan keluarga,” katanya.