Harian Metro

Tangani berita palsu

-

Satu kajian oleh penyelidik di Institut Teknologi Massachuse­tts (MIT), Amerika Syarikat (AS) merumuskan berita palsu lebih cepat tersebar di Internet berbanding yang sahih. Daripada 126,000 berita palsu dalam Twitter pada 2016 dan 2017, semua berita palsu itu di tweet oleh tiga juta hingga 4.5 juta kali sepanjang tempoh berkenaan. Malah kajian itu juga mendapati kira-kira 70 peratus maklumat palsu disebarkan lebih banyak berbanding berita benar terutama pada peristiwa besar seperti kempen pemilihan Presiden AS. Lebih mengejutka­n apabila didedahkan berita benar mengambil masa enam kali lebih lama untuk disampaika­n dan penyelidik merumuskan berita palsu cepat tersebar kerana ia mengujakan berbanding maklumat sebenar.

Hasil kajian ini mengesahka­n betapa penyebaran berita palsu adalah masalah global dan kita wajar berhati-hati dengan masalah ini di negara kita serta ambil peduli tentang kesannya kepada negara dan juga masyarakat secara keseluruha­nnya. Justeru sudah tiba masanya untuk semua pihak secara serius memikirkan pendekatan yang agresif dan proaktif untuk menangani maslah penyebaran dan kesan berita palsu.

Pada era sebelum Internet atau sebelum kemunculan pelbagai media baru yang berpunca daripada ledakan teknologi maklumat, kita banyak bergantung kepada media tradisiona­l seperti akhbar bercetak serta televisyen untuk mendapatka­n sesuatu maklumat atau berita. Pada era itu oleh kerana media yang ada agak terhad maka ruang penyebaran berita palsu juga amat terhad, malah agak mudah untuk dikawal dan dikekang kerana pihak media cetak dan elektronik dapat menapis semua berita yang mereka keluarkan.

Namun suasana tersebut sudah semakin berubah apabila munculnya Internet yang mencetuska­n pelbagai media baru yakni media sosial seperti Facebook, Twiter, Instagram dan juga aplikasi WhatsApp yang mana dunia tanpa sempadan ini menyebabka­n sesuatu berita yang disebarkan untuk tatapan umum tidak dapat ditapis mahupun dikawal begitu saja. Ini bukan bermakna kita mahu sekat dan kawal Internet atau menyekat hak kebebasan bersuara tetapi fokus kita adalah kepada berita palsu yang disebarkan tanpa rasa tanggungja­wab pihak yang ada kepentinga­n dan agenda peribadi.

Walaupun kita ada agensi seperti Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di samping pihak polis, namun perlu sedar betapa sukarnya untuk memantau setiap maklumat yang disebarkan dalam Internet kerana harus diingat bilangan pengguna Internet cukup ramai begitu juga bilangan akaun media sosial. Apa yang berlaku sekarang ialah apabila sesuatu berita palsu sudah tular dan ada pihak yang membuat laporan barulah pihak berkuasa dapat bertindak sama ada menyekat kandungan berita berkenaan mahupun mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarka­n berita palsu terbabit. SKMM merekodkan siasatan terhadap 40 kes membabitka­n penyebaran berita dan maklumat palsu pada tahun lalu dan daripada jumlah tersebut empat kes didakwa di mahkamah.

Penyebar berita palsu ini boleh dikategori­kan kepada beberapa kelompok mengikut kepentinga­n masing-masing. Kelompok yang paling biasa dan ramai yang tidak mempunyai apa-apa motif negatif ialah kelompok yang dikenali sebagai wartawan ekspres atau wartawan tidak bertauliah.

Mereka ini mungkin tidak ada apa-apa niat untuk memudaratk­an mana-mana pihak secara sengaja sebaliknya mereka bertindak menyebarka­n sesuatu berita itu sepantas kilat hanya untuk mendapat gelaran orang pertama yang menyebarka­nnya.

Tanpa menyedari kesan negatif kandungan berita yang disebarkan, mereka bertindak menularkan apa saja informasi yang mereka perolehi kononnya untuk menjadi orang pertama yang memaklumka­n masyarakat tentang sesuatu perkara tersebut. Kelompok ini amat jarang menilai, meneliti serta mengesahka­n terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita yang mahu ditularkan. Akhirnya tindakan melulu tanpa berfikir panjang ini mengundang pelbagai kemudarata­n kepada masyarakat dan juga negara.

Malah tindakan mereka ini juga boleh menyebabka­n diri mereka diburu oleh pihak bekuasa.

Kelompok berikut ialah golongan individu atau kumpulan yang mempunyai agenda dan tujuan tertentu, mereka ini amat jelas dengan apa yang mereka lakukan. Segala berita palsu yang disebarkan oleh kumpulan ini sememangny­a dirancang dengan teliti supaya menuju kumpulan sasaran serta memberikan impak yang mereka mahukan. Misalnya ada dalam kalangan mereka yang bermotifka­n politik iaitu menyebarka­n pelbagai berita palsu tentang parti lawan untuk mencetuska­n rasa benci dalam kalangan rakyat dan ada juga yang bermotifka­n sengaja mahu memecahbel­ahkan perpaduan rakyat dengan menyebarka­n pelbagai berita palsu yang menyentuh isu sensitif seperti agama dan bangsa.

Siapapun mereka dan apapun motif mahupun tujuan mereka, satu perkara yang perlu kita fahami ialah semua berita palsu yang disebarkan pasti akan memberi kesan negatif dan akhirnya boleh memudaratk­an kehidupan masyarakat, merosakkan demokrasi dan menghancur­kan negara. Hal ini kerana berita palsu boleh memberi kesan yang mendalam kepada kehidupan masyarakat kita dalam pelbagai aspek. Antaranya dari segi perpaduan kaum. Penyebaran pelbagai berita palsu tentang isu sensitif membabitka­n perpaduan kaum dilihat mula mencetuska­n sedikit tekanan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita.

Misalnya pernah disebarkan sebelum ini berita palsu kononnya ada berlaku pergaduhan kaum di beberapa tempat yang tular dalam media sosial dan aplikasi WhatsApp. Ini pastinya satu persekitar­an yang kurang sihat kepada masyarakat kita yang berbilang agama dan bangsa. Bayangkan jika ada anggota masyarakat yang percaya bulat-bulat semua yang mereka baca dalam media sosial seperti kes sensitif ini. Bukankah ini boleh menjadi provokasi yang bakal mencetuska­n ketegangan kaum di negara kita. Jelasnya penyebaran berita palsu seperti ini boleh meruntuhka­n kerukunan hidup dan keharmonia­n masyarakat majmuk yang kita banggakan selama ini. Ia juga sekali gus mengancam keselamata­n negara.

Selain itu, mutakhir ini juga terlalu banyak laman web serta akaun Facebook dan Twiter palsu tumbuh bagaikan cendawan menjelang musim pilihan raya. Kebanyakan daripada akaun palsu ini dengan jelas bertujuan untuk menyebarka­n pelbagai fitnah bagi mengaburi mata dan mempengaru­hi masyarakat supaya membenci sesuatu pihak ataupun tidak mengundi parti tertentu. Penyebaran pelbagai fakta yang tidak betul dan palsu dilihat mula mempengaru­hi pengundi terutama generasi muda yang taasub dan mudah percaya dengan berita di media sosial.

Jadi dalam konteks ini kita menyokong penuh keputusan kerajaan untuk mewujudkan Undang-undang Antiberita Tidak Benar bagi membendung penyebaran berita palsu di negara ini. Dalam hal ini kita juga berharap agar masyarakat akan lebih sensitif dan peka dengan sesuatu berita yang diterima dan dibaca dalam internet kerana tidak semua yang disebarkan itu sahih, benar dan tepat. Penulis Timbalan Pendaftar Fakulti Kejurutera­an Universiti Putra Malaysia

 ??  ?? Noor Mohamad Shakil Hameed
Noor Mohamad Shakil Hameed

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia