TATUM, JENNA BERPISAH
Buat pengumuman dalam
temu bual eksklusif
Selepas sembilan tahun hidup bersama, pelakon Channing Tatum dan isterinya, Jenna Dewan mengambil keputusan membawa haluan masing-masing.
Pasangan itu mengumumkan perpisahan mereka dalam temu bual eksklusif bersama People, baru-baru ini.
Berita sedih itu mengejutkan peminat mereka selepas spekulasi rumah tangga pasangan itu dikatakan bergoyang mula diperkatakan sejak beberapa bulan lalu.
Bulan lalu, Jenna, 37, menghadiri parti majlis Vanity Fair Oscars tanpa ditemani Tatum.
Pelakon itu memberitahu Entertainment Tonight suaminya tidak dapat hadir kerana perlu menjaga anak perempuan mereka, Everly, 4, di rumah.
Beberapa hari selepas acara itu, Jenna meluangkan masa bersama anak di taman tema Wizarding World of Harry Potter di Los Angeles.
Tatum juga dilihat menikmati hidangan di sebuah restoran bersama rakannya dan Jenna tidak menyertai mereka.
Februari lalu, Jenna menjelaskan dia dan Tatum berusaha mengekalkan keharmonian rumah tangga mereka.
“Saya rasa mahu menjerit kepada mereka yang menganggap rumah tangga kami sempurna.
“Seperti pasangan lain, kami juga bergaduh dan tidak bersependapat terhadap perkara tertentu.
“Kami juga pernah melalui situasi kurang suka dengan pasangan,” katanya.
Baru-baru ini, pasangan itu menghadiri Anugerah Kid’s Choice bersama dan Tatum sempat mempromosi filem animasi lakonan terbarunya, Smallfoot kepada penonton.
Tatum dan Jenna bertemu kali pertama sewaktu penggambaran filem Step Up pada 2006 sebelum mendirikan rumah tangga tiga tahun kemudian.