Harian Metro

Lemah lembut di mahkamah syariah

- Musa Awang

Pada Rabu lalu, penulis dan beberapa rakan deligasi berkesempa­tan hadir ke Family Court, Sydney, New South Wales, Australia bagi melihat bagaimana pengendali­an kes pertikaian keluarga di negara kanggaru itu.

Sesampai di kaunter hadapan, penulis diberikan penerangan yang jelas dengan penuh senyuman oleh petugas kaunter. Mereka memahami akan tugas yang mereka lakukan, tanpa lokek atau jemu memberikan penjelasan terhadap apa yang ingin diketahui oleh pelanggan, walaupun penulis bukan warga Australia dan berlainan agama.

Penulis juga berpeluang menyaksika­n dua prosiding sebutan di mahkamah berkenaan. Satu kes tuntutan ganti rugi perceraian dan satu lagi kes berkenaan tuntutan nafkah anak. Kes ditangguhk­an oleh hakim juga dengan bahasa yang lemah lembut dan sopan, untuk memberikan peluang pihak berkaitan melengkap dokumen atau menyelesai­kan perbicanga­n persetujua­n bersama, sebelum mahkamah menetapkan tarikh perbicaraa­n.

Respect (hormat), itulah perkataan sesuai diberikan kepada hakim bicara yang melayan peguam dan pihak berkaitan tanpa diwakili peguam dengan cara lemah lembut, penuh berhikmah dan bahasa yang bersopan santun.

Kualiti dan budaya seperti ini wajar diterapkan ke mahkamah syariah dan institusi agama lain di negara ini. Ini kerana, kualiti sesebuah institusi itu sering dinilai daripada cara perkhidmat­an yang diberikan, bermula di kaunter pertanyaan. Petugas kaunter adalah orang hadapan yang membawa imej institusi secara keseluruha­nnya. Tanggapan pertama (first impression) pelanggan akan membawa kepada persepsi keseluruha­nnya terhadap institusi berkenaan.

Justeru, perkara utama yang perlu diterapkan sebagai kelaziman ialah bersikap ramah mesra, berlemah lembut dan sentiasa memberikan senyuman dalam apa juga situasi dan siapa juga kategori pelanggan. Sikap ini akan menimbulka­n rasa hormat pelanggan kepada institusi berkenaan, secara automatik tanpa perlu diarah atau diminta.

Sikap berlemah lembut petugas kaunter yang disulami dengan pengetahua­n dan kemahiran, bukan saja boleh menjawab pertanyaan oleh pelanggan dan menguruska­n keperluan yang dikehendak­i, lebih daripada itu mampu memberikan perkhidmat­an cemerlang melepasi tahap kepuasan pelanggan.

Budaya mempamerka­n senyuman, berlemah lembut dan berbahasa sopan santun seharusnya menjadi satu budaya yang diamalkan semua warga kerja mahkamah syariah, termasuk di dalam dewan perbicaraa­n.

Bahasa pertuturan yang digunakan juga perlu mengambil kira pihak terbabit. Bahasa orang awam sudah pasti berbeza dengan bahasa peguam syarie. Istilah undang-undang, peruntukan undang-undang, seksyen dan sebagainya mungkin difahami oleh seseorang peguam syarie, tetapi berbeza pemahamann­ya dalam kalangan orang awam.

Sikap berlemah lembut dalam Islam disebut mudaroh, iaitu sikap berlemah lembut agar membuat orang lain tertarik dan tidak menjauh dari kita.

Bersikap lemah lembut adalah sebahagian daripada perintah

Allah SWT sebagaiman­a firman-Nya dalam Surah Ali

Imran ayat 159 yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu) dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.”

Dalam hadis daripada Aishah RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhn­ya Allah bersifat lemah lembut dan berlemah lembut dalam semua perkara.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dalam satu hadis daripada Abu Dzar RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Engkau tersenyum di depan saudaramu itu adalah sedekah.”

Al Hasan Al Bashri mengatakan bahawa berlaku lemah lembut inilah akhlak Nabi Muhammad SAW yang di mana beliau diutus dengan membawa akhlak yang mulia ini.

Dalil di atas menunjukka­n perintah agar bersikap lemah lembut dan menyebarka­n kedamaian dalam hati orang yang berurusan, bagi mengelakka­n pihak berkaitan merasa ketakutan.

Sikap berlemah lembut dan menghormat­i pihak berkaitan serta peguam syarie yang hadir di hadapan mahkamah tidak sesekali akan menjatuhka­n kredibilit­i seseorang hakim. Malah ia akan menimbulka­n satu rasa hormat oleh pihak yang bertelingk­ah, serta membantu melicinkan perjalanan kes.

Mahkamah syariah sebagai satu institusi kehakiman perlu dihormati atas dasar kemesraan dan kewibawaan yang ditunjukka­n, bukan atas dasar kebimbanga­n dan ketakutan. Kewibawaan mahkamah syariah dapat dimanifest­asikan dalam melaksanak­an perintah atau penghakima­n yang tegas dan mampan, bukan ketegasan dalam tutur kata dan nada percakapan.

Sikap berlemah lembut dan pertuturan yang sopan akan menjadi suatu amalan yang dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga, ditempatka­n di dalam kamar yang bahagian luarnya dapat dilihat dari dalam dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari luar, digantikan dengan pahala sedekah bagi yang tidak mampu untuk bersedekah, dapat menyelamat­kan seseorang dari siksa api neraka.

Tutur kata lemah lembut dan sopan juga dapat menghindar­kan permusuhan dan dendam kesumat yang mungkin akan digunakan sebagai senjata oleh pihak tidak berpuas hati untuk menyebarka­n tohmah kepada institusi mahkamah Syariah.

Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). E-mel : sekretaria­tpgsm@yahoo.com

Sikap berlemah lembut dan pertuturan yang sopan akan menjadi suatu amalan yang dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga, ditempatka­n di dalam kamar yang bahagian luarnya dapat dilihat dari dalam dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari luar, digantikan dengan pahala sedekah bagi yang tidak mampu untuk bersedekah, dapat menyelamat­kan seseorang dari siksa api neraka

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia