Harian Metro

‘Hujan’ sampah

 Penduduk kecewa tiada tindakan diambil walaupun ada mangsa koma terkena batu

- Fazrik Kamarudin news@nstp.com.my

“Semua benda jatuh dari ‘langit’. Bukan hanya televisyen malah pelbagai objek seperti batu, kayu, jubin dan sampah turut dibuang dari tingkat atas pangsapuri sebelum ini,” kata Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Taman Seri Intan, di sini, Adnan Yahaya, 59.

Katanya, insiden membaling objek dari tingkat atas pangsapuri berkenaan bukan kali pertama berlaku.

“Sebelum ini, penduduk di 208 unit pangsapuri 13 tingkat ini sering berdepan risiko terkena objek dibaling individu yang tidak dapat dikesan.

“Kami sudah banyak kali mengemukak­an aduan mengenai kejadian itu kepada pihak berkenaan, tetapi tiada tindakan diambil,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, televisyen dibaling dari tingkat 13 dalam kejadian Jumaat lalu adalah objek paling besar pernah dilempar di pangsapuri didiami hampir 30 peratus warga asing itu.

“Sebelum ini antara objek sering dibaling ke bawah ialah batu, kayu, jubin dan sampah hingga banyak kenderaan rosak akibat perbuatan tidak bertanggun­gjawab itu.

“Paling teruk, tiga tahun lalu, seorang penyewa warga Myanmar koma lebih seminggu akibat terkena batu dibaling dari atas.

“Bagi saya, masalah amat sukar ditangani, ia berkait rapat dengan mentaliti dan sikap penduduk itu sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kejadian Jumaat lalu, Adnan berkata, dia baru saja melalui lokasi televisyen itu dibaling ketika dalam perjalanan ke masjid untuk solat Jumaat.

“Selang beberapa minit, saya terdengar bunyi ‘letupan’ amat kuat, saya bergegas ke lokasi dan melihat sebuah televisyen jatuh terkena kereta milik penduduk.

“Kira-kira dua atau tiga minggu sebelum kejadian, pemilik televisyen berkenaan sudah ditegur supaya tidak meletakkan (televisyen) di kaki lima di depan rumahnya selain diminta segera membuangny­a di tempat pembuangan sampah,” katanya.

 ??  ?? LAPORAN Harian Metro, semalam.
LAPORAN Harian Metro, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia