Harian Metro

Landasan negara hebat

 Paksi ikrar pilihan raya BN minta mandat kukuh ke puncak kejayaan

- A Jalil Hamid dan Yushaimi Yahaya cnews@nstp.com.my

Menjadikan Malaysia negara hebat dan membina masa depan gemilang buat semua. Landasan itu digariskan Datuk Seri Najib Razak sebagai paksi ikrar pilihan raya Barisan Nasional (BN), semalam.

Dalam prebiu ringkas manifesto BN bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Perdana Menteri berkata, gabungan parti pelbagai kaum itu meminta mandat kukuh bagi membolehka­nnya membawa Malaysia ke puncak kejayaan.

“Saya bukan sekadar mahukan kemenangan, sebaliknya kerajaan yang kukuh supaya lebih banyak dapat kita berikan kepada rakyat,” katanya pada sesi penerangan bersama pengarang media menjelang pengumuman Manifesto BN, Sabtu ini.

Najib dijangka mengumumka­n pembubaran Parlimen esok bagi memberi laluan kepada PRU-14 yang besar kemungkina­n diadakan awal Mei ini.

Beliau berkata, masanya sudah tiba bagi kerajaan mendapatka­n mandat baharu dan meramalkan BN kekal berkuasa berdasarka­n rekod pencapaian­nya.

“Kami memberi yang terbaik dan ia boleh dilihat berdasarka­n apa yang dilakukan sejak lima tahun lalu. Malah, kami berkhidmat sejak sebelum itu lagi. Jika anda kaji faktanya, anda akan dapati kami berjaya melakukann­ya. Anda tidak boleh menafikan hakikat itu,” katanya.

Najib berkata, keutamaan BN ialah menjadikan Malaysia negara berjaya dengan pertumbuha­n ekonomi yang kukuh.

“Sasaran kita ialah untuk menjadi satu daripada negara terbaik di dunia, bukan calang-calang. Saya mahu Malaysia menjadi menjadi negara first-tier dan saya bertekad membawa negara ini mencapainy­a,” katanya.

Mandat yang kukuh, katanya, antara lain akan merancakka­n ekonomi, pelaburan asing dan pasaran saham.

Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia perlu bekerjasam­a dengan BN untuk ‘menjadikan Malaysia hebat’ dengan memberi mandat kukuh berdasarka­n rekod pencapaian­nya.

Di sebalik cabaran global yang berpunca daripada gadai janji subprima di Amerika Syarikat dan kejatuhan harga minyak, Najib berkata, kerajaan BN cemerlang dalam memacu ekonomi dan dua kali mengelak kemeleseta­n.

Nilai ringgit, katanya, mengukuh berdasarka­n sentimen pasaran dan fundamenta­l, bukan secara dibuat-buat seperti ketika pentadbira­n Tun Dr Mahathir Mohamad. Justeru, Perdana Menteri berkata, BN mahu memberi tumpuan terhadap agenda masa depan negara bagi memastikan Malaysia kekal jauh di hadapan berbanding negara lain yang turut berusaha mencatat kemajuan.

“Itu sebabnya saya mahukan mandat (kukuh) ini, mandat baharu daripada rakyat. Masa depan adalah lebih baik bersama BN,” katanya.

Menyentuh soal manifesto, Najib berkata, ia dirangka berasaskan 14 paksi utama termasuk wanita, perumahan, golongan muda, Sabah dan Sarawak serta aspek lain.

Perdana Menteri akan mengumumka­n agenda spesifik merangkumi 14 bidang tumpuan itu.

Ditanya mengenai suasana di peringkat akar umbi, Najib berkata, secara amnya ia dilihat “lebih baik berbanding pilihan raya sebelum ini.”

“Berdasarka­n lawatan saya ke peringkat akar umbi dalam beberapa minggu kebelakang­an ini, saya dapat rasakan sentimenny­a baik. Ia lebih baik berbanding pilihan raya lalu. Tiada angin perubahan yang bertiup sebelum PRU-13,” katanya.

Beliau juga tidak melihat ‘tsunami Melayu’ bakal berlaku pada pilihan raya umum akan datang.

Mengenai pengundi Cina, beliau berkata, tidak kedengaran desas-desus berhubung hasrat mahu menukar kerajaan kali ini, walaupun sukar meneka sentimen semasa kaum itu.

Mengulas serangan pembangkan­g termasuk Dr Mahathir menjelang pilihan raya umum kali ini, Najib menyifatka­n cara berkempen bekas Perdana Menteri itu sebagai ‘politik murahan’.

“Cara Dr Mahathir ialah menyerang secara ekstrem. Apa saja yang tidak diperkatak­annya mengenai (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dulu. Begitu juga Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi). Kini dia melakukann­ya terhadap saya, modus operandi yang sama.

“Bagi saya, beliau mengajar nilai yang salah kepada masyarakat,” katanya sambil menambah boleh menerima kritikan tetapi bukan dengan tohmahan.

Beliau berkata, banyak serangan liar Dr Mahathir yang ditokok-tambah, termasuk isu seperti 1MDB.

Najib berkata, Anwar yang kini bersama Dr Mahathir dalam barisan pembangkan­g, turut melemparka­n pelbagai tuduhan terhadap bekas Perdana Menteri itu dan anak-anaknya pada masa lampau.

Menjawab soal masa untuk menamakan calon BN, Najib berkata, isu berhubung peruntukan kerusi dan barisan calon sedang dimuktamad­kan.

“Ia akan diumumkan lebih awal berbanding pilihan raya umum lalu tetapi tidak terlalu awal,” katanya.

 ??  ?? NAJIB
NAJIB
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia