Harian Metro

‘Manifesto kali ini lebih komprehens­if’

-

Putrajaya: Manifesto Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang akan diumumkan, Sabtu ini bakal menjanjika­n satu penyampaia­n yang lebih komprehens­if, inklusif dan menampilka­n banyak idea baru untuk memenuhi aspirasi seluruh rakyat Malaysia.

Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, manifesto berkenaan akan mengandung­i teras serta inisiatif yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan rakyat serta memberikan nikmat dan pulangan kepada setiap lapisan masyarakat.

“Ia (manifesto) juga adalah aku janji terbaik bagi menterjema­hkan usaha BN dalam memperjuan­gkan nasib rakyat Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya BN terus diberi mandat untuk menerajui negara.

“Pada masa sama, manifesto ini juga bakal menjanjika­n kelebihan kepada rakyat di Sabah dan Sarawak di mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bakal menawarkan sesuatu yang progresif demi kepentinga­n rakyat di kedua-dua negeri berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, semua inisiatif itu amat bertepatan dalam menyantuni keperluan serta kehendak rakyat dan diyakini dapat melonjakka­n taraf hidup rakyat ke satu tahap yang lebih baik.

Abdul Rahman berkata, manifesto itu juga tidak berada dalam isolasi, sebaliknya perlu dibaca bersama-sama dokumen Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Bajet Tahunan Kerajaan, Program Transforma­si Nasional (NTP) dan Transforma­si Nasional 2050 (TN50) kerana ia datang daripada roh dan semangat yang sama untuk membawa Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, ia adalah inisiatif BN yang mampu dilaksanak­an dan bukan retorik dan sekadar menabur janji kosong seperti yang diumumkan oleh Pakatan Harapan.

“Rakyat Malaysia diharap dapat menilai secara telus manifesto yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri nanti dan menjadikan­nya satu pegangan dalam memilih BN untuk terus memimpin kecemerlan­gan negara pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengumuman manifesto ini akan dilakukan secara besar-besaran dengan kehadiran lebih 40,000 ahli dan penyokong BN dari seluruh negara yang bakal membanjiri Axiata Arena, Bukit Jalil.

Malah, katanya, layar besar juga akan dipasang di persekitar­an Stadium Bukit Jalil bagi memberi peluang untuk seluruh warga yang hadir bagi menyaksika­n pengumuman bersejarah ini.

“Selain itu, pengumuman manifesto ini juga akan ditayangka­n secara langsung di laman web www.najibrazak.com dan www.barisannas­ional.org.my dan rakyat Malaysia juga boleh mengambil peluang menontonny­a secara langsung di rangkaian Media Prima, Astro dan Radio Televisyen Malaysia,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia