Harian Metro

Kejap aje dah dicekup

- Nurul Hidayah Bahaudin news@nstp.com.my

 Tiga suspek curi kereta mewah kantoi kurang 24 jam

Hanya sempat melaram dengan kereta mewah dicuri tidak sampai tempoh 24 jam. Itu nasib tiga penjenayah yang diberkas selepas memecah masuk dan menyamun sebuah rumah di Bandar Kinrara di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah malam itu, suspek bersenjata­kan parang memasuki sebuah rumah di Bandar Kinrara sebelum melarikan beberapa barangan kemas dan sebuah kereta Toyota Camry.

Ketua Polis Daerah Serdang, Datuk Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, kejadian disedari mangsa yang juga suri rumah berusia 42 tahun ketika berada di dapur.

“Suspek melarikan beberapa barangan kemas dan sebuah kereta Toyota Camry milik mangsa sebelum melarikan diri menggunaka­n

Perodua Myvi.

“Mangsa kemudian membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Bandar Kinrara untuk tindakan lanjut,” katanya, semalam.

Megat Mohamad Aminuddin berkata, berdasarka­n laporan diterima, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 20-an di Jalan PJS 8/17, Petaling Jaya dan merampas sebuah kereta Nissan Almera jam 4.30 petang.

“Hasil tangkapan itu, kami menahan seorang lagi suspek yang juga berusia 20-an di sebuah stesen minyak di Taman Bandar Kinrara. “Kami juga berjaya menemukan semula kereta Toyota Camry milik mangsa yang diletakkan di tempat letak kenderaan di Jalan PJS 9/1 Bandar Sunway,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menahan suspek ketiga berusia lingkungan 20-an di sebuah pangsapuri di Petaling Jaya dan merampas sebuah kereta Perodua Myvi yang digunakan ketika melakukan kegiatan terbabit.

“Dalam serbuan itu, kami turut merampas rantai dan anting-anting emas, beg galas, beg tangan, telefon bimbit, komputer riba, kunci kenderaan serta sejumlah wang tunai dipercayai hasil kegiatan itu.

“Ketiga-tiga suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu dan ditahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia