Harian Metro

BELUM CUKUP...

- AFP

Liverpool

Jurgen Klopp memberi penghormat­an terhadap persembaha­n cemerlang Liverpool selepas menewaskan Manchester City 3-0, tetapi beliau mengakui The Reds sepatutnya menamatkan terus perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara.

Liverpool meleburkan harapan City dengan tiga gol dalam tempoh 31 minit perlawanan pada aksi suku akhir pertama di Anfield, awal pagi semalam.

Jaringan Mohamed Salah, Alex Oxlade-Chamberlai­n dan Sadio Mane jelas mengejutka­n City yang juga pendahulu Liga Perdana Inggeris ketika ini.

Namun, walaupun ada yang percaya bahawa jaringan gol sudah mencukupi buat Liverpool memikirkan tempat di separuh akhir, Klopp menegaskan pemainnya terlepas peluang menutup terus semangat juang pasukan lawan menjelang aksi kedua minggu depan di Eastlands.

“Babak pertama sangat cemerlang. Ia aksi bola sepak yang perlu

disaksikan. Kami tahu kualiti City, tetapi kami juga tahu kualiti kami,” kata Klopp.

“Keputusan bukan yang kami jangkakan, tetapi kami tidak bermain bola sepak yang baik pada babak kedua. Mereka tidak mempunyai banyak peluang, tetapi aksi kami juga kurang menyerlah.”

Sedar mengenai kemampuan City ketika membelasah Liverpool 5-0 dalam aksi Liga Perdana di Manchester

pada September lalu, Klopp berkata: “Ia hanya separuh masa. 3-0, sangat baik, kami mematahkan hantaran mereka.

“Saya mahu kami bermain lebih banyak corak permainan bola sepak, saya bukan marah, semuanya bagus.”

Beberapa perkara turut membimbang­kan Klopp termasuk kecederaan otot penyerang Mesir, Salah selain kapten, Jordan Henderson tidak dapat beraksi untuk suku akhir kedua nanti.

“Kami kehilangan seorang pemain kerana kecederaan dan seorang lagi - kapten - kad kuning yang kurang baik. Mo (Salah) berkata kecederaan­nya tidak serius, tetapi kami perlu melihatnya,” kata Klopp.

 Klopp puji kualiti pemain ketika benam Citizens, namun akui Reds mampu ‘singkir’ terus lawannya daripada saingan musim ini

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia