Harian Metro

‘Waspada ancaman India’

- Naqib Nor Said naqib@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Jurulatih hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah mengingatk­an anak buahnya waspada dengan ancaman India yang dianggapny­a ibarat ‘harimau terluka’ selepas diaibkan Wales 3-2, semalam.

Bekas pengendali skuad remaja itu berkata, pertemuan dengan India di Pusat Hoki Gold Coast, hari ini bukan sesuatu yang mudah apatah lagi dengan rekod buruk pasukannya ketika bertemu juara Asia itu.

Malaysian Tigress tumbang kepada pasukan ranking ke-10 dunia itu dalam semua lima perlawanan sejak 2013 dan terbaru ketika saingan Piala Asia di Jepun, Oktober lalu yang berkesudah­an dengan kekalahan 2-0.

“India sudah pasti akan bangkit,” kata Dhaarma. “Tetapi kami akan bermain sebaik mungkin. Apa yang penting pemain perlu membesar dan matang seperti Wales yang turun dengan keyakinan serta keinginan tinggi untuk mencipta sejarah.

“Malah saya akui tugas kami kini bertambah sukar. Ini kerana hanya Wales mempunyai ranking di belakang kami. Jadi kemenangan ke atas Wales selepas ini tidak akan memberi jaminan untuk kami menutup kempen kumpulan di depan mereka.”

Dengan menyasarka­n penamat keenam, skuad kendalian Dhaarma yang menduduki ranking ke-22 dunia perlu meraih tempat ketiga Kumpulan A yang turut dibarisi pasukan nombor dua dunia England, India (10), Afrika Selatan (14) dan Wales (26).

Tetapi andai tewas pada aksi pertama hari ini, bermakna peluang skuad negara semakin tipis selepas kemenangan kali pertama Wales ke atas India meletakkan pasukan kerdil dari Eropah itu berada dalam situasi selesa.

Bagi Malaysia, walaupun menyambut semula kepulangan tonggak berpengala­man Fazilla Sylvester Silin yang diketepika­n pada dua kejohanan terakhir, tetapi tumpuan pastinya terarah kepada penjaga gol Farah Ayuni Yahya.

Keringat Farah yang juga penjaga gol Terbaik Asia 2016 itu pastinya ditagih selepas Dhaarma yang membuat risikan pertemuan Wales dan India menyifatka­n skuad Harendra Singh masih pasukan yang kuat walaupun tewas.

“India memang kuat, cuma kegagalan menyudahka­n peluang menyebabka­n mereka dipisahkan daripada kemenangan. Bayangkan India memperoleh 15 pukulan sudut penalti sementara Wales sekadar satu,” katanya.

 ??  ?? DHAARMA (kiri) tuntut pemain pamer semangat juang tinggi.
DHAARMA (kiri) tuntut pemain pamer semangat juang tinggi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia