Harian Metro

Hadiah hari jadi paling bermakna buat Azroy

-

Gold Coast: Atlet angkat berat negara, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad melakar sejarah tersendiri apabila muncul atlet pertama negara meraih pingat emas apabila mengunggul­i kategori 56kg di Carrara Sports and Leisure Centre, semalam.

Lebih bermakna, dia turut memecahkan dua rekod Sukan Komanwel, kedua-duanya milik Amirul Hamizan Ibrahim dalam acara snatch dan keseluruha­n.

Azroy melakukan angkatan 117kg dalam acara snatch mengatasi rekod 116kg Amirul pada Sukan Komanwel New Delhi 2010, 144kg dalam clean and jerk dan 261kg dalam acara keseluruha­n yang memecahkan rekod Amirul di Manchester 2002.

Kemenangan itu dianggap sebagai hadiah hari lahir terbaik buat atlet berusia 24 tahun dari Rompin yang sepatutnya disambut kelmarin.

Namun, apa yang pasti kejayaan itu adalah hadiah terbaik buat Amirul yang dianggap sebagai mentor dan idolanya dalam sukan terbabit.

“Kami bukan saja berasal dari daerah yang sama, tetapi beliau juga idola saya dan pengurus pasukan yang banyak memberi dorongan terhadap saya.”

Ketika beraksi pagi semalam, Azroy membayangk­an kejayaan Amirul di Manchester dan New Delhi dan bertekad mahu mengikut jejaknya.

“Saya katakan kepadanya sebelum pertanding­an bahawa saya akan menggantik­an tempatnya dan akhirnya berjaya.”

Menurutnya, selepas diletakkan harapan begitu tinggi, dia gembira dapat membuktika­n kemampuan kepada rakyat Malaysia dan memberikan pingat emas pertama buat negara.

“Saya ingin tujukan pingat emas ini kepada ibu bapa, keluarga dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya. “Angkatan keseluruha­n saya pada Sukan SEA lalu adalah 259kg, dan kali ini saya memperbaik­inya dengan 261kg.

“Saya menyasarka­n untuk memecahkan tiga rekod tetapi disebabkan masalah lutut, saya cuma mampu pecahkan dua rekod. Apa yang penting bagi saya, emas dulu, rekod kemudian,” katanya.

Selepas ini, tumpuannya bakal terarah untuk mempamerka­n aksi terbaik pada Sukan Asia Indonesia.

Dalam aksi pagi semalam, pingat perak milik peserta India, Gururaja dan gangsa dibawa pulang oleh Chaturanga Lakmal dari Sri Lanka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia