600,000 penduduk terima manfaat
Seremban: Lebih 600,000 penduduk di daerah ini termasuk Ampangan, Paroi dan Kuala Pilah menerima pelbagai manfaat dengan kewujudan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Negeri Sembilan yang beroperasi empat bulan lalu.
Pusat itu juga yang pertama membawa pembaharuan dari segi perkhidmatan dengan penyediaan kaunter ‘1 Serve’ menggabungkan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Jabatan Imigresen.
Kaunter itu membolehkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan ketiga-tiga agensi berkenaan di satu tempat saja.
Langkah proaktif itu bertujuan menambah baik kaunter kerajaan yang berupaya menjadi platform merakyatkan perkhidmatan awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik, cepat dan selesa kepada rakyat.
Tinjauan mendapati orang ramai menyambut baik langkah kerajaan menyediakan UTC kerana menjimatkan masa dan wang mereka berurusan di satu tempat saja.
Pesara swasta, Zakaria Ahmad, 61, yang menetap di Taman Tuanku Jaafar, Senawang, berkata dia mengunjungi UTC setiap dua bulan untuk berurusan di Lembaga Tabung Haji.
“Saya sangat berpuas hati dengan adanya UTC kerana memudahkan urusan saya dan menjimatkan masa.
“Saya tidak perlu lagi pergi ke banyak lokasi untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan dan swasta kerana UTC menyediakan semua perkhidmatan di bawah satu bumbung,” katanya.
Ibu tunggal, Noriah Hashim, 69, berkata urusan menjadi lebih mudah dengan adanya
UTC kerana hanya perlu ke satu tempat mendapatkan perkhidmatan dan klinik kesihatan.
“Saya tiada kenderaan dan menaiki bas untuk ke mana-mana. Apabila ada UTC, saya datang ke sini untuk ke klinik kesihatan dan boleh buat urusan lain termasuk mencari barang keperluan sebelum pulang ke rumah,” katanya.