Ancasa Hotels & Resorts bakal jadi hotel berstatus empat bintang
Ancasa Hotels & Resorts, rangkaian hotel milik UDA Holdings Bhd (UDA) berhasrat menjadi hotel berstatus empat bintang menjelang hujung tahun ini melalui pelaksanaan kerja menaik taraf kemudahan dan bilik hotel yang bermula sejak tahun lalu.
Naib Presiden Kanan Bahagian Hospitaliti Ancasa, Shah Azam Khan Noor Mohammad berkata, pelaksanaan kerja naik taraf itu membabitkan Ancasa Hotel & Spa dan Ancasa Expres@Pudu di Kuala Lumpur serta Ancasa Residences di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Menurutnya, syarikat memperuntukkan pelaburan bernilai kira-kira RM30 juta bagi cawangan di dua lokasi itu di mana ia dijangka siap sepenuhnya menjelang suku keempat tahun ini.
“Kerja pengubahsuaian ini bertujuan untuk meningkatkan lagi kemudahan di hotel itu sekali gus memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan pada masa depan,” katanya pada majlis pengenalan Bufet Ramadan 2018, di sini.
Beliau berkata, pihaknya berusaha menambah dan meningkatkan kemudahan di rangkaian hotel Ancasa bagi meningkatkan statusnya kepada empat bintang berbanding tiga bintang ketika ini.
“Kami lihat terdapat keperluan untuk melaksanakan kerja pengubahsuaian ini dan kami perlu memanfaatkan lokasi hotel kami terutama Ancasa Hotel & Spa dan Ancasa Expres@ Pudu yang terletak berdekatan Tun Razak Exchange (TRX) yang dijangka berkembang pesat tidak lama lagi,” katanya.