UNIVERSITI MALAYA KATA TAK ADA
UM nafi Boy Iman calon PhD
Universiti Malaya (UM) menafikan pelakon, Noruliman A Rahman atau lebih dikenali sebagai Boy Iman adalah seorang daripada calon atau penuntut peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (Secara Penyelidikan) di universiti itu.
Pejabat Komunikasi Korporat UM dalam satu kenyataan, di sini, semalam, menyatakan semakan yang dibuat mengesahkan tiada pendaftaran atas nama individu berkenaan sebagai calon PhD di UM.
Malah, kad pengenalan penuntut UM yang dipamerkan pelakon berkenaan dalam laman sosial peribadinya disahkan sebagai palsu.
UM dalam kenyataan itu turut menyatakan kad pengenalan rasmi penuntut UM adalah berbeza dan tidak seperti dipaparkan Boy Iman dalam laman sosial berkenaan.
“Dalam kad pengenalan rasmi penuntut UM, maklumat tertera adalah membabitkan gambar, nama, nombor pelajar serta nombor kod bidang diambil.
“Kad pengenalan rasmi penuntut UM tidak akan memaparkan nama bidang atau jurusan diambil terutama jika membabitkan peringkat doktor falsafah,” katanya.
Pada 30 Mac lalu, Boy Iman memuat naik sekeping gambar kad penuntut UM di laman sosialnya konon sebagai bukti kepada orang ramai yang dia menyambung pengajian peringkat PhD.
Dalam status itu, Boy Iman menulis kenyataan berbunyi ‘Buat mereka yang bergelar pakcik bawang & makcik bawang.. Hadiah untuk anda! Juga hadiah untuk saya sebab birthday saya dah dekat.. 2hb April ni’.
Namun status dimuat naik pelakon itu sudah dipadam selepas UM mengeluarkan kenyataan rasmi.
Sementara itu, Boy Iman masih bermain teka-teki terhadap status dimuat naiknya itu.
Ketika dihubungi, di sini, semalam, pelakon berusia 38 tahun itu enggan mengulas mengenai kenyataan rasmi UM yang menafikan dia calon PhD di universiti berkenaan.
“Kalau saya komen, orang kata saya putar belit kenyataan. Saya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.
“Biarlah masa menentukan. Dalam enam bulan akan datang, kebenaran akan timbul,” katanya.