‘TAK HARAP’ BANTUAN
Nadiatul Nabilah sanggup berjalan 500 meter guna pengangkutan awam untuk hantar gambar
Sanggup bersusah payah dan mahu menghadapi rintangan seorang diri menyebabkan Nadiatul Nabilah Mazli, 21, yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) tidak mahu individu lain membantunya apabila mahu menghantar gambar atau melakukan pekerjaan memproses gambar.
Rakan serumahnya, Siti Nurfaezah Lasang, 23, berkata, Nadiatul Nabilah akan keluar jam 8 pagi berseorangan tanpa bantuan individu lain malah hanya menggunakan pengangkutan awam ke destinasi tertentu.
Siti Nurfaeazah berkata, Nadiatul Nabilah yang mengalami masalah saraf pada kedua-dua kakinya sejak lahir tidak mengharapkan bantuan individu lain walaupun rakannya sendiri kerana mahu lebih berdikari demi mencari sumber pendapatan tambahan.
“Kami selalu bertanya apakah dia mahukan sebarang bantuan namun Nadiatul Nabilah tetap mahu melakukan kerja berkenaan seorang diri termasuk berjalan sejauh 500 meter untuk menaiki pengangkutan awam.
“Nadiatul Nabilah memang seorang yang tabah dan tidak mahu menyusahkan orang lain walaupun menghadapi kesulitan termasuk turun dari tingkat 17 di hostel tempat kami menginap, namun dia tetap sabar,” katanya.
Semalam, Harian Metro melaporkan penuntut tahun akhir Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej Antarabangsa Perniagaan dan Pengurusan, Cheras itu tidak menjadikan kecacatannya sebagai alasan untuk menyerahkan nasib pada takdir semata-mata.
Sebaliknya dia sentiasa berusaha mengubah hidupnya dan menjalankan perkhidmatan mencetak gambar secara dalam talian demi menampung perbelanjaannya di kolej berkenaan.