Tamakninah dan kehidupan
Solat mengajar erti jangan gopoh mengambil tindakan dalam semua perkara
Ada orang keluar dari rumah untuk mencari rezeki pada awal pagi dan balik ke rumah ketika matahari terbenam.
Ada yang menghadiri majlis dan perjumpaan sehingga padat jadual hariannya.
Pendek kata, urusan kehidupan di dunia ini tidak pernah berhenti.
Setiap insan perlu memahami hakikat kehidupan di dunia adalah untuk mencari bekalan di akhirat kelak.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” (Surah al-An’am,
ayat 32)
Dalam mengurus kehidupan yang sarat itu, ada manusia bersifat rakus mengejar habuan dunia.
Golongan seperti itu sanggup melakukan apa saja meskipun ia dilarang Allah SWT.
Allah SWT mengingatkan kita mengenai perbandingan kehidupan dunia dan akhirat menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang selepas menerima peringatan itu, lalu berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh). Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan
sembahyang (dengan khusyuk). (Tetapi kebanyakkan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia. Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.”
(Surah al-A’laa, ayat 14-17)
Satu sifat yang perlu dielakkan adalah sifat gopoh. Banyak keburukan timbul kesan daripada sifat gopoh terutama ketika melakukan sesuatu pekerjaan.
Ketika menerima sesuatu berita tidak betul, tanpa usul periksa kita terus menzahirkan rasa marah kepada orang di sekeliling.
Ada kalanya, orang itu tidak terbabit pun dengan berita itu. Mulut juga terus menghamburkan kata-kata kesat.
Bukankah seeloknya berita itu diselidiki terlebih dulu. Mungkin telinga silap mendengar perincian berita yang diterima.
Segalanya akan jadi baik jika kita mengambil sedikit masa membuat pengesahan mengenai perkara sebenar dan tidak gopoh membuat tindakan.
Memang sifat gopoh ada dalam diri setiap manusia. Hal itu dijelaskan Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru (gopoh) dalam segala halnya, Aku (Allah) akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaan-Ku, maka janganlah kamu meminta disegerakan (kedatangannya).” (Surah al-Anbiya’,
ayat 37)
Perbuatan gopoh juga ditegah ketika melakukan ibadat kepada Allah SWT. Perhatikanlah ketika menunaikan solat, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah tamakninah.
Tamakninah bermaksud berhenti seketika ketika melakukan pergerakan solat sebelum beralih kepada pergerakan lain.
Itu petanda jelas Islam mengajar pengikutnya bersifat tertib dalam melakukan ibadat untuk mengelakkan sifat gopoh.
Sepatutnya, nilai baik yang diterapkan dalam solat perlu dipraktikkan dalam kehidupan. Sifat gopoh hanya membuatkan diri tidak memberi tumpuan ketika beribadat.
Malah, diri akan berasa letih melakukan ibadat sedangkan sepatutnya setiap Muslim berasa tenang ketika beribadat kepada Allah SWT.
Begitu juga ketika berdoa, ada manusia bersifat gopoh supaya permohonannya segera dimakbulkan Allah SWT.
Namun, tindakannya dalam menyahut seruan melakukan ibadat selalu bertangguh. Firman Allah
SWT yang bermaksud:
“Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya dia ditimpa) kejahatan sebagaimana dia berdoa dengan memohon kebaikan dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburuburu (gopoh).” (Surah al-Isra’, ayat 11)
Perintah supaya tidak bersifat gopoh sememangnya mempunyai hikmah bagi golongan yang benarbenar patuh terhadap titah perintah Allah SWT.
Sifat gopoh boleh mendatangkan kerugian dalam kehidupan manusia. Perkara baik yang dilakukan secara tergopoh-gapah menyebabkan ia dibuat secara ala kadar dan tidak sempurna.
Selain itu, sesuatu yang dilakukan secara gopoh juga menghadirkan pelbagai sifat negatif seperti cepat marah, buruk sangka, mengeluarkan kata-kata dusta dan kesat serta persengketaan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Terburuburu (gopoh) itu daripada syaitan.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Sifat gopoh hanya mencerminkan keperibadian seolah-olah manusia itu tidak mempercayai adanya pertolongan Allah SWT dalam setiap urusan hambaNya.
Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu