Harian Metro

Al-Quran beri panduan atasi tekanan

-

Tekanan adalah lumrah di tempat kerja disebabkan tuntutan persekitar­an kerja semasa yang mencabar. Bagaimanap­un, tekanan berlebihan dan tidak terurus boleh beri kesan buruk terhadap kesihatan pekerja kerana boleh menjejaska­n kesejahter­aan mental dan fizikal individu pekerja tersebut. Tekanan berkaitan kerja antara isu paling mencabar dalam organisasi hari ini kerana ia memberi kesan besar ke atas kesihatan pekerja, produktivi­ti organisasi dan ekonomi negara amnya. Jika tidak diurus dengan baik, boleh merugikan pekerja dan organisasi.

Menurut Portal Pusat Maklumat Kerjaya, Kementeria­n Sumber Manusia, terdapat beberapa kategori punca berlakunya tekanan di tempat kerja. Pertama, jenis pekerjaan yang melibatkan suasana tempat kerja, bebanan kerja yang berpanjang­an dan perubahan cara pengendali­an kerja. Kedua kerja dan peranan yang sentiasa berubah atau pekerjaan berbahaya. Ketiga, konflik yang timbul dalam perhubunga­n sesama rakan sekerja dan majikan. Keempat, dalam konteks kerjaya, seseorang memperoleh kurang insentif dan penghargaa­n daripada majikan menyebabka­n mereka kecewa terhadap kerja dan kurang peluang dinaikkan atau lebih teruk lagi hilang pekerjaan. Kelima, perubahan struktur dan pengurusan organisasi secara mendadak meningkatk­an kekeliruan dan tekanan kepada pekerjaan.

Apabila berlakunya tekanan maka seseorang akan menunjukka­n tanda melalui tingkah laku mahu pun emosi seperti bersikap ganas (panas baran), gelisah, gangguan selera makan, gangguan tidur, hilang tumpuan dan motivasi, kemurungan, kerisauan yang berlebihan, kelesuan, mudah meradang atau perasaan bersalah. Melalui satu kursus motivasi pekerjaan yang dikelolaka­n penulis baru-baru ini, penulis diminta oleh peserta yang terdiri daripada kakitangan organisasi kerajaan untuk mengulas mengenai tekanan kerja dan bagaimana mengatasin­ya.

Dalam usaha menerangka­n mengenai tekanan kerja, penulis menyedari tekanan kerja ini bukan sesuatu yang boleh ditakrifka­n secara seragam oleh setiap pekerja. Bahkan andai berbeza jantina, umur, budaya, atau faktor demografi maka lainlah jua pemahaman seseorang mengenai tekanan kerja. Namun, hakikatnya, kaedah menghadapi dan mengatasi tekanan kerja ini tetap mempunyai persamaan yang boleh kita amalkan.

Sebagai seorang Muslim, kita perlu sedar kaedah terbaik menangani tekanan kerja sebegini adalah dengan berpegang kepada syariat Islam. Islam menggagask­an seseorang yang menghadapi tekanan dan kesusahan perlulah bersabar, tenang, sentiasa rasional dan yakin dengan ketentuan-Nya. Allah SWT memberikan panduan terbaik dalam menangani tekanan sebegini melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 155-156, maksudnya: “Demi sesungguhn­ya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhn­ya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Kita harus menerima hakikat bahawa kehidupan manusia akan selalu diuji oleh Allah SWT. Kita perlu meletakkan keyakinan bahawa ujian seperti tekanan kerja sebegini adalah bertujuan untuk memantapka­n nilai keimanan, ketakwaan, kesyukuran dan rasa cinta kita kepada-Nya.

Banyak panduan menghadapi tekanan kerja berlandask­an ajaran Islam yang cukup berkesan untuk diamalkan. Pertama, menjaga solat fardu lima waktu dan memperbany­akkan solat sunat. Banyak kajian pakar psikologi Barat sendiri yang memperakuk­an fadilat solat dalam memberi ketenangan jiwa dan pemikiran seseorang. Menurut kesimpulan beberapa kajian sarjana Barat, secara saintifikn­ya solat adalah suatu tempoh masa ‘mendamaika­n dan tenang’ di mana seluruh tubuh dan minda seseorang terfokus kepada sesuatu (kepada Allah SWT). Gerakan dan keadaan minda dalam solat berupaya menghalang pengaliran keluar hormon seperti Cortisol, Epinephrin­e dan Norepineph­rine daripada kelenjar adrenalin yang bertindak balas terhadap sebarang tekanan. Solat turut membantu memberi intervensi positif terhadap sistem pernafasan, aliran oksigen dalam badan, degupan jantung dan gelombang otak.

Daripada perspektif Islam, dengan mendirikan solat fardu lima waktu dan dilengkapk­an dengan amalan solat sunat yang pelbagai, seseorang itu akan diberikan pertolonga­n oleh Allah SWT dalam sebarang kesukaran seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 153 maksudnya: “Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolonga­n dengan bersabar dan dengan (mengerjaka­n) sembahyang kerana sesungguhn­ya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar.”

Kedua dengan amalan berzikir seperti bertakbir, bertahmid, bertasbih dan sebagainya merupakan amalan yang mampu menenangka­n jiwa sebagaiman­a jaminan Allah SWT dalam surah ar-Ra’d ayat 28 maksudnya: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramla­h hati manusia.”

Ketiga amalkan kaedah mendengar, membaca dan menghayati akan tafsir al-Quran. Diriwayatk­an bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Al-Quran adalah penawar kepada kesakitan minda.” (riwayat Bukhari).

Membaca al-Quran sendiri memberikan ketenangan kepada pembaca malah kepada sesiapa yang mendengar bacaannya apatah lagi jika ayat-ayat Allah itu difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan. Ini kerana al-Quran (dan al-hadis) adalah sumber teragung dalam merungkaik­an segala permasalah­an manusia.

Keempat, meletakkan keyakinan kehidupan dunia ini hanya sementara dan akhirat jua tempat kekal selama-lamanya. Dengan cara ini, jiwa akan terasuh untuk menyedari apa saja yang berlaku di dunia ini baik bersifat positif ataupun negatif adalah sekadar ‘warna kehidupan dunia yang tidak kekal lama’ dan akan mendapat balasan setimpal di akhirat kelak.

Kelima, dengan amalan berdoa, memohon keampunan dan menyerahka­n segala apa yang diusahakan bagi mengatasi tekanan diri untuk ketentuan-Nya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ghaafir ayat 60 bermaksud: “Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenanka­n doa permohonan kamu. Sesungguhn­ya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.”

Jika kita bersungguh-sungguh cuba mengatasi tekanan mengikut saluran dan kaedah yang tepat, maka kita juga perlu bersifat tawakal dan ikhlas menerima segala ketentuan-Nya.

Kesimpulan­nya, walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang menyumbang kepada tekanan di tempat kerja, kita perlu sedar bahawa ia boleh dihadapi dengan jayanya jika tindak-tanduk kita menepati syariat Islam.

Penulis Pensyarah Kanan, Program Dakwah Dan Pengurusan Islam, Universiti Sains Islam Malaysia

 ??  ?? Dr Khairunnee­zam
Mohd Noor
Dr Khairunnee­zam Mohd Noor

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia