Pengurusan baru bikin onar: Tudose
Kuala Lumpur: Kegagalan pengurusan untuk menyelesaikan tunggakan gaji sehingga empat bulan dan mengabaikan kebajikan pemain dilihat sebagai satu tindakan tidak menghormati pemain yang beraksi demi pasukan Marcerra Kuantan FA.
Jelas kaptennya, Alexandru Tudose, pengurusan baru pasukan yang dikendalikan Marcerra disifatkan sebagai ‘bencana’ terutamanya selepas mengambil kira cara mereka mengendalikan dan juga melayan pemain dan pegawai pasukan yang cuba menuntut hak mereka.
“Mereka tidak menghormati kami. Saya langsung tidak menerima sebarang wang ringgit sejak beraksi bersama pasukan ini. Kesabaran ada hadnya namun pengurusan tidak mahu bertemu untuk menjelaskan situasi yang sebenarnya.
“Kami boleh faham jika mereka menyelesaikan gaji pemain tempatan terlebih dulu dan selepas itu barulah gaji pemain import. Lebih mudah untuk membuat laporan kepada FIFA, namun saya percaya kepada jurulatih Ismail Zakaria yang berusaha keras berjuang untuk membantu kami.
“Saya tidak boleh mengheret sama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke FIFA kerana kesalahan satu pihak saja. Saya beraksi di sini jadi saya tahu tidak semua yang berperangai seperti pengurusan Marcerra,” katanya.
Justeru, dia mengambil pendekatan untuk berhati-hati dengan kemasukan penaja baru kerana bimbang situasi sama akan tetap menghantui pasukan itu pada masa akan datang.
“Saya sudah berjumpa penaja dua hari lalu dan mereka nampak berbeza menerusi percakapan dan gaya mereka. Apapun, saya hanya akan percaya selepas perjanjian menjadi rasmi dan mereka mula membayar gaji kerana jika tidak, ia sama seperti sekarang,” katanya.
Sementara itu, pemain berpengalaman Marcerra Kuantan FA, Abdul Ghani Rahman mengakui tunggakan gaji selama empat bulan itu menjadi detik terburuk sepanjang kariernya selama 15 tahun bergelar pemain profesional.
“Kita sudah berada di era profesional jadi masalah ini tidak sepatutnya berlaku. Kita tidak menjangka perkara sebegini kerana pada mulanya, pengurusan Marcerra nampak meyakinkan.
“Masalah sebegini sememangnya dapat membunuh bakat pemain muda. Apapun, kemasukan penaja baru akan menjadi perkembangan yang bagus walaupun kita perlu membina semula pasukan,” katanya.