Bayar pajakan RM1.9b kepada FELDA
Kuala Lumpur: FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) membayar pajakan tetap dan perkongsian untung operasi ladang berjumlah RM1.9 bilion kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sejak 2012 sehingga 2017.
Pembayaran itu komitmen pengeluar minyak sawit mentah terbesar dunia berkenaan terhadap FELDA yang termaktub dalam Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) membabitkan pajakan 355,000 hektar ladang sawit 99 tahun kepada FGV.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata, setiap tahun, FGV membayar RM250 juta kepada FELDA di bawah LLA.
Beliau berkata, syarikat perladangan sawit itu berkongsi 15 peratus keuntungan operasi ladang bersama FELDA mengikut perjanjian berkenaan.
“Sumbangan FGV kepada peneroka secara tidak langsung kerana ia disalurkan menerusi FELDA yang bertanggungjawab terhadap 112,000 peneroka.
“Kami memberi dividen kepada semua pelabur dan peneroka FELDA antara pelabur kami,” katanya.
Zakaria berkata, selain pulangan pelaburan dan dividen, sumbangan tidak langsung FGV terhadap peneroka juga dari segi meningkatkan hasil tanaman mereka dengan bekerjasama secara rapat dengan FELDA untuk menghasilkan benih sawit berkualiti.
Beliau berkata, pihaknya membimbing peneroka mengenai amalan penanaman baik untuk meningkatkan hasil tanaman mereka bagi menepati standard antarabangsa.
Katanya, dua pertiga buah tandan segar (FFB) diterima FGV daripada peneroka FELDA, justeru penting memastikan sawit dihasilkan berkualiti.
Di samping itu, Zakaria berkata, FGV komited melahirkan lebih ramai usahawan muda khususnya anak peneroka menerusi Program Usahawan Muda.
“Program ini terbuka kepada semua warganegara berumur antara 20 hingga 30 tahun dan keutamaan diberikan kepada generasi baharu peneroka, anak kakitangan FGV dan FELDA yang tinggal di kawasan FELDA.
“FGV memilih 40 peserta untuk kumpulan pertama program ini dan segala kos pembelajaran serta peralatan ditanggung,” katanya.
Menerusi Program Usahawan Muda itu, peserta dilatih bermula daripada asas pengurusan perniagaan sehingga latihan lapangan di ladang FGV mengikut prinsip kelestarian bagi memastikan setiap peserta mampu menguruskan syarikat sendiri.