Harian Metro

FAHAMI UNDI ROSAK

- Nor Ain Mohamed Radhi dan Ahmad Suhael Adnan cnews@nstp.com.my

“Tidak wujud istilah undi rosak semasa pengiraan pengundian,” kata Timbalan Pengarah Akademi Pilihan Raya, Norlinah Jamman.

Beliau berkata, istilah undi rosak hanya terpakai kepada kertas undi yang tidak dimasukkan dalam peti undi antara jam 8 pagi hingga 5 petang ketika hari pengundian.

“Contohnya, kertas undi terkoyak secara tidak sengaja dan pengundi memohon kertas undi baru daripada ketua tempat mengundi.

“Kertas undi yang terkoyak itu istilahnya adalah kertas undi rosak dan ia tidak dimasukkan dalam peti undi,” katanya ketika sesi temu bual dalam rancangan Assalamual­aikum yang disiarkan secara langsung menerusi TV Al-Hijrah, semalam.

Norlinah berkata, istilah tepat bagi kertas undi yang tidak diterima atas faktor tertentu adalah undi ditolak.

“Undi ditolak adalah kertas undi yang ditanda selain daripada tanda pangkah dan dimasukkan dalam dulang undi ragu semasa pengiraan.

“Ketua tempat mengundi menentukan sama ada kertas undi itu boleh diterima, namun jika ditolak, istilah sebenarnya adalah kertas undi ditolak, bukan undi rosak,” katanya.

Norlinah berkata, hanya kertas undi yang ditanda pangkah diterima manakala tanda lain ditentukan ketua tempat mengundi sama ada diterima atau sebaliknya.

Katanya, kertas undi juga perlu dilipat dengan kaedah lipatan yang dibuat Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan ia tidak terbuka selepas dimasukkan dalam peti undi, sekali gus mengekalka­n kerahsiaan pengundian.

Dalam pada itu, katanya, ketua tempat mengundi berhak untuk tidak membenarka­n pengundi mengundi atas beberapa faktor antaranya jika nama tiada dalam daftar pemilih, wajah tidak sama dengan kad pengenalan atau terdapat tanda dakwat di jari.

“Jika ada kesan dakwat di jari pengudi semasa pemeriksaa­n, ketua tempat mengundi akan menelitiny­a dan jika berpuas hati itu bukan dakwat pilihan raya, beliau boleh memberi kebenaran kepada pengundi (untuk mengundi).

“Namun, jika ketua tempat pengundi menganggap ia dakwat pilihan raya, beliau boleh untuk tidak memberikan kertas undi kepada pengundi terbabit. Itu kuasa ketua tempat mengundi,” katanya.

Berlaku jika kertas undi tidak dimasukkan dalam peti undi dalam tempoh ditetapkan

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia