Harian Metro

Beku cuti 350 staf imigresen Johor

-

Johor Bahru: Cuti semua 350 pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen Johor yang bertugas di dua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), dibekukan mulai 8 hingga 9 Mei ini bagi memudahkan rakyat yang bekerja atau tinggal di Singapura pulang mengundi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan berkata, pembekuan cuti itu membabitka­n pegawai dan kakitangan yang bertugas di CIQ Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah.

Katanya, langkah itu bagi memastikan urusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjalan lancar dan menegaskan pihaknya tidak pernah menyekat rakyat negara ini pulang mengundi.

“Saya nak jawab balik tohmahan sinis dan tidak tidak berasas pemimpin DAP Johor yang seolah-olah memperolok­kan Jabatan Imigresen dan kata harap KDN (Kementeria­n Dalam Negeri) memastikan perjalanan mereka yang akan kembali dari Singapura untuk mengundi tidak dihalang.

“Kami (KDN) tidak pernah menghalang orang ramai balik mengundi. Masalah kesesakan di CIQ adalah masalah setiap hari dan berapa ramai kita letak pegawai pun tetapi pada waktu tertentu tidak dapat mengelak kesesakan apabila pengunjung ramai.

“Kelewatan di Singapura dicampur aduk dengan kesesakan di Tambak Johor.

“Kadang-kadang Tambak Johor tidak sibuk tetapi di Singapura pula sibuk tetapi kami juga disalahkan. Kami tidak halang sesiapa pun balik,” katanya.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Pulai berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Pegawai, Kakitangan dan Keluarga Jabatan Imigresen Johor, di Kuaters Imigresen Taman Kenanga, di sini, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia