Harian Metro

MARKAS ‘SERUMPUN’

- Ahmad Rabiul Zulkifli news@nstp.com.my

Biarpun nampak pelik namun itulah realiti semangat perpaduan dalam kalangan penduduk Kampung Pulau Kambing, di sini, yang seharusnya dijadikan contoh sepanjang musim Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Walaupun berlainan ideologi politik namun ia tidak menjadikan penduduk kampung di situ saling bermusuhan dan bermasam muka, sebaliknya menerapkan sikap keterbukaa­n dan politik matang.

Ia dibuktikan apabila tiga parti yang bakal bertanding pada PRU14 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar dan Parlimen Kuala Terengganu iaitu Barisan Nasional (BN), PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menubuhkan markas parti masing-masing bersebelah­an antara satu sama lain.

Tinjauan di tiga markas parti itu mendapati ahli parti masing-masing bukan saja bergaul mesra antara satu sama lain malah berkongsi pelbagai kemudahan bersama termasuk minuman dan makanan.

Lebih unik apabila ahli semua parti yang bertanding saling bantu-membantu memasang bendera dan lambang parti masing-masing sejak ditubuhkan seminggu lalu.

Wakil markas BN, Mohd Syaharidan Jaafarudin, 31, berkata, dia dan semua ahli parti BN mengambil iktibar dan pengajaran daripada kemesraan pucuk pimpinan tertinggi dalam memperjuan­gkan ideologi masing-masing.

“Kami lihat pucuk pimpinan sama ada di peringkat pusat atau negeri saling bergaul mesra malah boleh duduk semeja apabila selesai sesuatu majlis membabitka­n semua parti.

Penduduk Kampung Pulau Kambing bina pondok parti bersebelah­an, kongsi kemudahan

“Justeru, sebagai ahli dan penggerak di peringkat akar umbi, kami juga perlu menerapkan budaya itu.

“Tiada alasan untuk kami bermasam muka, bertikam lidah atau bergaduh sedangkan pemimpin di peringkat tertinggi boleh bergaul mesra dan profesiona­l,” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Syaharidan berkata, dia berharap keharmonia­n antara ahli tiga parti bertanding di DUN Bandar dan Parlimen Kuala Terengganu dijadikan contoh dan teladan di kawasan lain yang bertanding.

“Hak untuk memilih berada di tangan masing-masing. Justeru, kami hanya perlu menjalanka­n tanggungja­wab tanpa perlu bergaduh,” katanya yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Cawangan Pulau Kambing.

Sementara itu, Ketua Cawangan PAS Bandar Baru, Wan Muhamad Zaini Wan Yahya, 67, berkata, pihaknya memilih menubuhkan markas di kawasan berkenaan kerana menyahut seruan pucuk pimpinan supaya mengamalka­n budaya politik matang dan sejahtera.

“Kami ingin mendekati semua golongan di semua peringkat. Justeru, pemilihan lokasi itu adalah tepat kerana ia lokasi tumpuan penduduk kampung. Kemesraan kami terbentuk sejak dulu lagi, biarpun berlainan parti namun ukhuwah antara kami tetap utuh.

“Dalam banyak hal, kami sentiasa bekerjasam­a dan saling bantu-membantu, sekali gus menghindar­i budaya negatif sepanjang PRU14,” katanya.

Wakil Markas PKR, Mohd Rozi Abdul Aziz, 52, pula berkata, kedudukan markas yang bersebelah­an tidak mendatangk­an sebarang masalah kepada semua ahli ketiga-tiga parti bertanding.

“Kami hanya berlainan parti politik namun hubungan persaudara­an kami tetap sama. Memandangk­an markas kami berdekatan, semua ahli sentiasa menjaga sensitivit­i parti masing-masing,” katanya.

 ?? FOTO: AHMAD RABIUL ZULKIFLY ?? TIGA parti bertanding di N14 Bandar dan P036 Kuala Terengganu di cawangan Pulau Kambing tubuh markas parti bersebelah­an.
FOTO: AHMAD RABIUL ZULKIFLY TIGA parti bertanding di N14 Bandar dan P036 Kuala Terengganu di cawangan Pulau Kambing tubuh markas parti bersebelah­an.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia