Harian Metro

Usaha bawa balik tahanan ambil masa

-

Usaha membawa pulang seorang wanita rakyat Malaysia yang berada di sebuah pusat tahanan di Syria akan mengambil masa sebelum ia dapat dilaksanak­an.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, proses itu memerlukan pembabitan banyak pihak dan sehingga kini ia masih di peringkat awal.

Katanya, perkara itu perlu dirujuk kepada Kementeria­n Dalam Negeri (KDN) dan Wisma Putra selain pihak berkenaan di Syria.

“Dalam keadaan sekarang, agak sukar untuk kita masuk ke Syria, kita memerlukan kerjasama dan pembabitan banyak pihak.

“Kita perlu pertimbang­kan apa pilihan terbaik untuk dilakukan ketika ini kerana selain wanita terbabit, turut dikenal pasti ada 10 lagi pasangan suami isteri yang masih berada di Syria.

“Kita cuba membawa keluar memandangk­an mereka ini masih lagi rakyat Malaysia dan yang ditinggalk­an ini pula kebanyakan­nya adalah wanita serta kanak-kanak.

“Bagaimanap­un, kita perlu mengumpul butiran mengenai keadaan atau lokasi sebenar mereka, sama ada masih berada di Syria atau negara lain, sebaik maklumat diperoleh, barulah kita boleh merancang pelan seterusnya,” katanya dalam sidang media selepas menjadi panel Forum Perdana Al-Hidayah bertajuk ‘Pelampau Agama Pencetus Perpecahan Ummah’ di Masjid Al-Hidayah, Kampung Sungai Penchala, di sini, malam kelmarin.

Ayob berkata, walaupun usaha dilakukan untuk membawa wanita itu pulang, sebaik tiba di Malaysia kelak, proses siasatan tetap dijalankan.

Katanya, setiap rakyat Malaysia yang pergi ke Syria akan ditahan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Kita akan lihat kes demi kes, jika ia membabitka­n wanita dan kanak-kanak kita tidak akan tahan mereka dalam penjara,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia