Harian Metro

12 MOTOR BARAI

- Ifwan Tun Tuah ifwan@nstp.com.my

Dua kenderaan terbabas rempuh sekumpulan motosikal berteduh bawah jejambat

Sekumpulan penunggang motosikal yang berteduh ketika hujan lebat di bawah jejambat di Kilometer 259 Lebuhraya PLUS, di sini, semalam, terselamat walaupun motosikal mereka rosak akibat dirempuh dua kenderaan yang terbabas.

Difahamkan, dalam kejadian jam 2 petang berhampira­n susur keluar Plaza Tol Port Dickson itu, seorang penunggang cedera ringan.

Difahamkan 12 motosikal dirempuh sebahagian besarnya rosak teruk.

Saksi mendakwa, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah kereta terbabas ke tepi jalan merempuh beberapa motosikal di bawah jejambat.

“Semua pemilik motosikal bernasib baik kerana berada jauh bawah jejambat namun motosikal yang dirempuh rosak teruk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, siasatan mendapati kereta dipandu wanita berusia 23 tahun dari Senawang ke Banting hilang kawalan selepas melanggar lopak air.

“Keretanya melanggar pembahagi jalan sebelum melintang di tengah jalan. Sebuah kenderaan lain di belakangny­a tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta itu.

“Kedua-dua kenderaan itu terbabas ke lorong kecemasan dan merempuh 12 motosikal yang berada di bawah jejambat,” katanya.

Beliau berkata, penunggang motosikal wanita yang cedera dalam kemalangan itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini, untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia