Harian Metro

SEBAK DENGAR AMANAT IBU

- Rudy Imran Shamsudin am@hmetro.com.my

 Dynas sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan semalam

Dengan sekali lafaz, pelakon popular Dynas Mokhtar, 35, sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohamad Shazrik Che Mohd Din, 36, di kediaman pengantin perempuan di sini, pagi semalam.

Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar dinikahkan bapanya Datuk Wan Mokhtar Wan Mohd disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwina­n, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Khairul Anuar Mulim dan kedua-dua belah keluarga pengantin pada jam 10.50 pagi.

Sebaik majlis nikah selamat dilaksanak­an, Dynas yang juga pengacara kelihatan menitiskan air mata.

Ditemui sebaik majlis selesai, pelakon yang mula dikenali menerusi program Beat TV ini berkata, pada awalnya dia cuba bertenang apatah lagi selepas mendengar lafaz disahkan. Bagaimanap­un, sebaik ibunya Datin Rasiah Shaharuddi­n memeluk dan membisikka­n kata-kata amanat membuatkan dia tidak dapat menahan perasaan hiba.

“Kata-kata dan amanat diberikan ibu itu membuatkan saya tewas dan menangis walaupun pada awalnya saya cuba memujuk hati supaya tenang dan tidak menangis,” katanya.

Diminta untuk berkongsi amanat dan nasihat ibunya itu, Dynas berkata, biarlah ia menjadi azimat untuk dirinya dalam melayari bahtera perkahwina­n yang baru dibina.

Pada majlis itu, Dynas yang juga pelakon drama Syurga Yang Kedua menerima tujuh dulang hantaran termasuk mas kahwin berjumlah RM1,001, wang hantaran RM30,000 berserta set barangan kemas serba satu daripada pengantin lelaki dan dibalas sembilan dulang termasuk rawatan lasik berjumlah RM13,000 yang dilakukan Selasa lalu.

Majlis pernikahan itu dihadiri 150 jemputan dalam kalangan ahli keluarga dan kenalan rapat pengantin.

Menariknya, pembawa dulang hantaran pihak pengantin perempuan terdiri daripada rakan artis iaitu Yasmin Hani, Aisyah Sinclair, Daphne Iking, Atilia dan Sazzy Falak, manakala Scha Alyahya pula sebagai pengapit.

 ??  ?? DYNAS dan Mohamad Shazrik selamat diijab kabul jam 10.50 pagi, semalam.
DYNAS dan Mohamad Shazrik selamat diijab kabul jam 10.50 pagi, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia