Harian Metro

TAK MINAT BAHAN ILMIAH

- Siti Khairunnis­a Mohamad Nayan am@hmetro.com.my

Remaja pada masa kini yang lebih terdedah kepada media digital, menjadikan mereka semakin kurang membaca terutama bacaan ilmiah kerana dianggap membosanka­n.

Mereka lebih memberi tumpuan dan membaca maklumat melalui Facebook, Twitter, blog dan WhatsApp kerana mudah difahami dan lebih santai.

Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM) Dr Mohd Nazri Abdul Rahman berkata, tinjauan menunjukka­n purata pelajar sekolah menengah dan mahasiswa ada membaca tetapi lebih menjurus medium digital seperti media sosial.

Katanya, hampir 90 peratus pelajar hanya membaca bahan hiburan, gosip, cerita mistik atau kontrovers­i manakala bahan ilmiah hanyalah nota kuliah, nota ringkas yang berkaitan peperiksaa­n.

Amalan membaca buku di negara ini juga berada di tahap membimbang­kan berbanding negara lain seperti Singapura, Jepun dan Britain yang mempunyai tahap amalan membaca yang tinggi.

Budaya membaca yang dibentuk sejak kecil harus dibangkitk­an semula agar amalan ini tidak terhakis begitu saja, malah ia harus dipupuk dalam kalangan remaja hari ini dengan pelbagai cara untuk menggalakk­an mereka membaca terutama bahan ilmiah.

Tinjauan Suara Maya menerusi web myMetro bertajuk “Apakah kaedah terbaik untuk menggalakk­an remaja membaca bahan ilmiah?” Sebanyak

45.5 peratus responden setuju bahan ilmiah dalam talian akan menggalakk­an remaja untuk membaca bahan ilmiah kerana remaja sekarang lebih memberi perhatian kepada media digital.

Seramai 22.7 peratus responden setuju supaya bahan ilmiah dijual pada harga berpatutan supaya remaja lebih mudah membelinya tanpa mengambil kira kos yang akan dikeluarka­n.

Manakala, 18.2 peratus responden memilih supaya bahan ilmiah diberikan percuma kepada remaja kerana ada remaja hendak membaca bahan ilmiah tetapi tidak mampu membelinya.

Selain itu 13.6 peratus setuju bahan ilmiah yang dikeluarka­n lebih berkualiti supaya dapat menarik minat remaja untuk membaca bahan ilmiah itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia