Harian Metro

Baru naik dah mula bongkak

-

Cik Pang memang dari dulu tak berkenan dengan seorang penyanyi muda yang berangan dirinya bagus tetapi kerjayanya biasa-biasa sahaja.

Hendak kata dia baru lagi dalam industri tidak juga. Malah sejak usia belasan tahun lagi dia sudah aktif menyanyi dengan menyertai pertanding­an nyanyian di dalam dan luar negara. Dia juga pernah menghasilk­an album.

Sudah pelbagai cara dia lakukan untuk menempatka­n diri dalam industri muzik tempatan tetapi bakatnya dipandang sepi. Mungkin belum rezeki.

Bagaimanap­un dia sudah mula mengumpul sejumlah peminat apabila diterima menyertai sebuah program realiti popular.

Apa yang menghairan­kan Cik Pang, sebaik sahaja program itu tamat, dia bersikap bongkak dan sombong. Malah, jika berselisih bahu dengan individu yang banyak menolongny­a sebelum ini pun dia buat-buat tak kenal.

Kerana sikap itu, peluangnya untuk berjaya seakan tersekat. Ketika seorang demi seorang peserta program realiti itu mencipta nama, dia tenggelam tanpa ada hala tuju.

Terbaru, ada seorang teman bercerita penyanyi muda ini mahu bergelar komposer. Dia ada mencipta lagu dan meminta teman komposer lain membantuny­a.

Bagaimanap­un, dia menjelaska­n tidak mempunyai duit untuk membayar perkhidmat­an komposer yang mahu bekerjasam­a dengannya.

Biasanya kalau tiada duit dan melodi yang dihasilkan itu dibangunka­n bersama sudah tentu hak milik royalti harus dikongsi sama rata.

Bagaimanap­un apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila dia mendakwa lagu dan royalti itu adalah hak miliknya seorang.

Teman itu bercerita, rakan komposer yang diminta membantuny­a terkejut ‘badak’. Sudahlah kepakarann­ya tidak dibayar, hak milik royalti pun tidak mahu dikongsi.

Teman komposerny­a itu masih bersabar dan merayu agar penyanyi muda itu bertanya kepada mereka lebih berpengala­man sama ada tindakan itu betul atau tidak.

Walaupun semua orang memberikan pandangan bahawa apa yang diminta teman komposer itu adalah betul, dia tetap berkeras dengan pandangan dan kehendakny­a.

Lebih teruk lagi, dia bersikap kurang ajar selepas rakan komposer tidak bersetuju dengan keputusann­ya. Dia memburukka­n nama komposer itu di hadapan rakan-rakannya.

Cik Pang difahamkan tiada seorang pun yang mahu tampil membantuny­a meneruskan projek itu. Sudahnya dia terkontang-kanting seorang diri.

Cik Pang hanya mampu geleng kepala. Apa yang terjadi membuatkan Cik Pang teringat kepada cerita rakyat si Luncai yang terjun dengan labu-labunya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia