Kan duduk lagi lama di jel
Buruh lari dari penjara dapat tambahan 20 bulan
Akibat melarikan diri dari penjara minggu lalu, seorang buruh terpaksa meringkuk lebih lama di sebalik tirai besi selepas dikenakan hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri mengenakan hukuman itu selepas tertuduh, Abdullah Mat Akub, 38, mengaku bersalah terhadap tuduhan berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman terhadapnya bermula semalam.
Sebelum ini, banduan yang berasal dari Kampung Manek Urai Lama, Kuala Krai itu menjalani hukuman penjara 13 tahun dan 10 sebatan sejak 2016 atas kesalahan merogol.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melarikan diri di Blok Amanah, Penjara Pengkalan Chepa di sini, jam 5.50 petang, 13 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Siasatan awal polis mendapati banduan itu melarikan diri dengan memanjat pagar berduri.
Tertuduh ditahan semula pada 16 April lalu di Taman Kurnia Jaya.
Terdahulu, peguam Ariyani Mohd Amin yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara minimum dikenakan.
“Dia juga mohon dipindahkan ke Penjara Marang, Terengganu kerana mendakwa dibuli banduan lain (Penjara Pengkalan Chepa),” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin memohon hukuman setimpal kerana melarikan diri dari penjara adalah kesalahan serius.