Tujuh perlawanan tinggal kenangan
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dijangka membatalkan keputusan perlawanan Liga Perdana membabitkan Kuantan FA selepas kelab itu secara rasmi digugurkan penyertaan dalam Liga Malaysia (Liga-M) kelmarin.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, tindakan membatalkan keputusan tujuh perlawanan Kuantan FA setakat ini dilihat pilihan terbaik, namun perkara itu perlu diputuskan terlebih dahulu ahli lembaga pengarah MFL.
“Kami belum umumkan keputusan mengenai mata perlawanan Liga Perdana membabitkan Kuantan FA kerana kami perlu mengadakan perbincangan. Pilihan terbaik yang kami ada adalah membatalkan keputusan perlawanan Kuantan FA.
“Kami umumkan dulu keputusan penyingkiran Kuantan FA kerana kami tak mahu ada mata yang akan dibawa lagi pasukan itu selepas ini.
“Banyak aspek perlu diperhalusi bila menyentuh bab pembatalan keputusan perlawanan, bukan saja mata tak sah, malah kami kena putuskan sama ada jaringan gol perlawanan membabitkan Kuantan FA turut tak sah atau masih dikira, kerana ini akan menjejaskan pemain yang berpeluang memenangi anugerah penjaring terbanyak,” katanya semalam.
Setakat ini Kuantan FA sudah mengharungi tujuh perlawanan dengan merekod satu kemenangan, tiga seri dan tiga kalah untuk mengumpul enam mata di posisi ke-10 liga.
Bagaimanapun, kelab kendalian Ismail Zakaria itu disingkirkan MFL gara-gara tidak turun beraksi menentang PDRM dalam perlawanan liga di Stadium Shah Alam pada 15 April lalu.
Kuantan FA berdepan masalah tunggakan gaji pemain bukan saja musim ini, malah beberapa musim lalu, namun masih dibenarkan bertanding, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai ketegasan MFL dalam memastikan perkara sama tidak berulang.
Kevin berkata, pelesenan kelab adalah jawapan terbaik kepada masalah itu, tetapi ia hanya akan dilaksanakan menerusi permohonan pasukan Liga Perdana pada 2019 bagi musim 2020.
“Kami sudah laksanakan pelesenan kelab cuma ia belum sampai ke pasukan Liga Perdana kerana ia dilakukan secara berperingkat. Di bawah pelesenan kelab ini, mereka perlu kemukakan laporan kewangan terkini serta pelan menjana pendapatan.
“Seperti yang dilaksanakan La Liga Sepanyol, semua pasukan perlu mengisytiharkan segala perbelanjaan mereka, tiada rahsia. Jika tidak, tindakan tegas akan diambil,” katanya.
MFL batal keputusan perlawanan membabitkan Kuantan FA