DENDANGAN KHEMAH TERBANG
Bagio terkejut bumbung pentas tercabut ketika menyanyi
Penyanyi Bagio berdepan situasi mencemaskan apabila bumbung pentas diterbangkan angin kencang ketika dia membuat persembahan di Bandar Darulaman, Jitra, Kedah, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Bagio sedang menyanyikan lagu popularnya Umpama Mimpi Dalam Mimpi sebelum hujan semakin lebat disusuli angin kencang.
Bagio ketika dihubungi berkata, dia bersyukur kerana tiada berlaku sebarang kemalangan jiwa.
“Ketika mula-mula menyanyi pun keadaan ketika itu sudah hujan, tetapi tiada angin kencang dan petir. Jadi, saya teruskan menyanyi kerana pentas itu pun berbumbung.
“Namun, tiba-tiba berlaku angin kencang menyebabkan bumbung pentas tercabut dan diterbangkan angin. Saya segera berlari mencari kawasan yang selamat,” katanya kepada Harian Metro.
Bagio yang juga bekas penyanyi Damasutra diundang menjayakan persembahan sempena pertandingan akhir Darulaman Buskers 2018 anjuran Kumpulan Buskers Kedah yang berlangsung di Darulaman Golf & Country Club, Bandar Darulaman dekat Jitra, Kedah.
Difahamkan, bumbung pentas itu tercabut kerana ia tidak dipaku dengan kemas.
“Namun, jika dipaku pun saya pasti khemah akan koyak kerana angin terlalu kuat,” katanya.
Bagio berkata, dia tetap tenang dengan insiden itu kerana sejak awal lagi sudah berhati-hati dengan pelbagai kemungkinan.
“Saya memulakan persembahan dengan lagu Asyik dan diikuti Umpama Mimpi Dalam Mimpi. Ketika itu saya lihat penonton di bawah sudah beralih tempat seperti ada sesuatu yang tidak kena. Pada masa sama, saya sempat melihat tiang khemah yang sudah terangkat. Ketika bumbung khemah tumbang, kemungkinan untuk menimpa saya memang ada tetapi mujurlah ia tumbang ke belakang,” katanya.
Bagio berkata, dia tidak mahu menuding jari menyalahkan penganjur kerana perkara yang berlaku adalah di luar jangkaan namun berharap penganjur akan sentiasa berhati-hati dengan pelbagai kemungkinan terutama ketika persembahan berlangsung dalam cuaca hujan,” katanya.
Berikutan kejadian itu, persembahan terpaksa dihentikan selepas itu.
Menurut Bagio, dia pernah berdepan situasi yang lebih cemas apabila pentas runtuh diterbangkan ribut ketika dia bersama Damasutra selesai melakukan sesi ujian bunyi dalam satu persembahan di Ipoh, Perak dulu.