DR TERANCAM
Makin ramai kakitangan KKM jadi mangsa kes kekerasan tahun lalu
Semakin ramai kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi mangsa kes kekerasan ketika bertugas susulan 162 laporan kes direkodkan sepanjang 2017.
Berdasarkan statistik laporan dan pengendalian, kes kekerasan yang dilaporkan membabitkan perbuatan fizikal, verbal, gangguan seksual, tulisan serta insiden yang tersebar melalui media sosial terhadap anggota kementerian itu.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, statistik itu menunjukkan peningkatan berbanding hanya 44 kes antara 2013 hingga 2015.
“Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 43 kes diikuti Terengganu dan Sarawak, masing-masing 16 kes.
“Dari segi kategori jawatan, pegawai perubatan adalah anggota paling tinggi dikasari iaitu 64 kes, diikuti jururawat dan pembantu pegawai perubatan masing-masing 60 dan 17 kes,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia dan Pelancaran Modul Latihan Mencegah dan Menangani Kekerasan Terhadap Anggota di Fasiliti Kementerian Kesihatan di sini, semalam.
Dr Noor Hisham berkata, pada 28 April 2017, KKM melancarkan Garis Panduan Mencegah dan Menangani Kekerasan Terhadap Anggota di Fasiliti KKM yang membantu memberi kesedaran serta menjadi rujukan bagi anggota KKM semasa menghadapi situasi kekerasan di tempat kerja.
“Susulan kewujudan garis panduan itu, KKM mengambil satu inisiatif melalui Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan menghasilkan Modul Latihan Mencegah dan Menangani Kekerasan Terhadap Anggota di Fasiliti KKM.
“Ia bertujuan memberi latihan berkonsepkan
(ToT) kepada seluruh anggota KKM. Modul ini dapat menjadi templat secara menyeluruh untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan anggota KKM.
“Kandungan modul latihan ini disusun secara komprehensif, padat serta diolah agar mudah difahami dan dipraktikkan semua pihak terbabit,” katanya.
Mengulas mengenai sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia yang disambut pada 28 April setiap tahun pula katanya, fokus KKM tahun ini berkaitan aspek kekerasan terhadap anggota di fasiliti KKM.
“Sambutan ini dilihat meningkatkan kesedaran antarabangsa mengenai keselamatan dan kesihatan dalam kalangan pekerja dan majikan menerusi penerapan budaya selamat dan sihat, serta memupuk tanggungjawab setiap individu untuk mencegah kemalangan, penyebaran penyakit atau kematian pekerja di tempat kerja.
“Ini di samping mencapai salah satu sasaran sasaran pembangunan mapan (SDG) iaitu persekitaran kerja yang selamat dan terjamin bagi semua pekerja menjelang tahun 2030,” katanya.