JANGAN ABAI LATIHAN OTOT TERAS
Latihan kuatkan otot teras mampu tingkat prestasi atlet, kurangkan risiko sakit belakang
Peranan otot teras (core muscles) dilihat amat penting dalam memastikan seseorang atlet atau mereka yang membabitkan diri dalam bidang sukan mampu memberikan prestasi dan keupayaan terbaik.
Malah, ramai dalam kalangan mereka yang bergiat dalam bidang kecergasan menitikberatkan perihal pentingnya mempunyai dan membentuk otot teras yang tegap.
Selain senaman membentuk otot tubuh, latihan untuk menguatkan otot teras juga tidak kurang pentingnya apabila kerap dipaparkan dalam majalah kesihatan dan kecergasan antarabangsa serta tempatan.
Jurulatih kecergasan, Susan Ingraham dalam artikelnya berkata, latihan otot teras menjadi trend dalam industri kecergasan sejak bertahun lamanya dan lebih diberi perhatian sejak 1990-an.
Pada masa sama, ramai berpendapat bahawa latihan otot teras bukan saja meningkatkan prestasi, malah memperbaiki postur tubuh dan mengurangkan risiko sakit belakang.
Malah, Ketua Pusat Sukan Kekuatan dan Daya Tahan Bahagian Prestasi Sukan Institut Sukan Negara (ISN), Jad Adrian Washif mengakui betapa kekuatan dan kestabilan otot teras amat penting dalam bidang sukan.
Jelasnya, otot teras membentuk otot seperti bahagian perut (abdominal), belakang (back) dan juga otot sekitar pelvis yang berperanan bagi memberi kestabilan badan terutamanya tulang belakang (spine).
Katanya lagi, ia juga mengawal posisi badan dan bahu ketika bergerak bagi membolehkan ia berada pada kedudukan neutral atau yang diinginkan.
“Otot-otot ini juga membolehkan pergerakan seperti fleksi/lenturan (flexion) dan pemanjangan (extension) badan ke depan, belakang, dan tepi, serta pusingan atau putaran (rotation) badan, selain daripada fungsi bagi mengawal kedudukan otot pelvis,” katanya.
Menurut Jad Adrian, kebanyakan pergerakan dalam sukan memerlukan koordinasi antara bahagian badan bawah dan atas. Secara teorinya, jelas beliau, koordinasi ini membolehkan pemindahan daya yang lebih efektif untuk mewujudkan satu prestasi lakuan pergerakan yang lebih baik.
“Contohnya, dalam acara lontar peluru, penjanaan daya bermula dari bahagian kaki menuju kepada alatan (lontar peluru) di mana aksi pergelangan kaki, lutut, pinggul, torso, bahu, siku dan pergelangan tangan berada dalam satu urutan (kinetic chain),” katanya.
“Pergerakan itu membabitkan fungsi otot teras bagi membolehkan daya yang tinggi dihasilkan melalui jumlah paduan daya (summation of force) yang terbentuk. Ini akan meningkatkan prestasi lontaran dalam acara berkenaan.”
Contoh lain dalam sukan berbasikal, otot teras yang dilatih boleh membantu menyokong postur badan dan juga meningkatkan keberkesanan kayuhan.
Begitu juga dalam acara jarak jauh, otot teras yang stabil akan membantu mengekalkan teknik larian yang berkesan dan ideal (running economy), membolehkan larian lebih laju dengan kadar penggunaan tenaga yang sama.
Jelasnya, hampir setiap aktiviti fizikal dan sukan memerlukan pergerakan berlaku antara otot pelvis dan bahu.
“Contohnya, pergerakan lenturan (bending) dan putaran (twist/turn) dalam sukan seperti bola tampar, bowling, ragbi, tenis, hoki, golf dan bola sepak. Semua pergerakan ini adalah dikawal oleh otot teras,” katanya.
Justeru, menurut Jad Adrian, otot teras perlu dilatih bagi membolehkan impulse dan daya dihasilkan serta dikumpul melalui rantaian sendi yang terbabit (buku lali, lutut, pinggul, lumbar, thoracic dan lain-lain) bagi memudahkan pergerakan yang efisien dan menghasilkan prestasi yang baik.