Tip jaga stamina
Calon BN DUN Permatang Berangan minum banyak air mineral
Minum air mineral yang mencukupi dan mengambil makanan tambahan menjadi amalan Nor Hafizah Othman, 42, menjaga stamina sepanjang berkempen.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Berangan itu berkata, beliau menitikberatkan perihal kesihatan dan cuba mencari masa rehat bagi memastikan sentiasa kelihatan bertenaga ketika bertemu pengundi.
Katanya, DUN kawasan itu yang mempunyai banyak cawangan BN berbanding DUN Teluk Air Tawar dan Sungai Dua antara cabaran yang perlu dilaluinya kerana perlu menghabiskan lawatan dalam kekangan masa begitu singkat.
“Di Permatang Berangan, kita mempunyai 40 cawangan berbanding Sungai Dua dan Telok Air Tawar yang mempunyai antara 20 ke 25 cawangan.
“Jadi, ini antara cabaran untuk saya apatah lagi sebagai calon muka baru namun itu tidak menjadi halangan kerana pengundi mengenali saya dan sekarang apa yang paling penting saya perlu jaga kesihatan supaya dapat menghabiskan masa berkempen dengan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutupan Klinik Cub Prix anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Kubang Menerong di sini, semalam.
Anak tempatan yang menetap di Pokok Tampang di sini berkata, mengamalkan minum air secukupnya dan mengambil makanan tambahan penting memandangkan waktu kempen yang bermula awal pagi dan berakhir tengah malam.
“Dulu saya hanya bantu calon tetapi sekarang saya pula menjadi calon dan sudah tentu keadaan ini lain hingga boleh dikatakan tidak ada masa rehat. “Jadual saya bermula sekitar jam 8 pagi dan berakhir lewat tengah malam kemudian bersambung semula awal pagi yang mana saya perlu melaluinya hingga hari terakhir berkempen,” katanya.