Mati dijerut
Warga emas ditemui tertiarap selepas rumah dimasuki penjenayah
Seorang wanita warga emas mati dijerut selepas rumahnya di Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang di sini, dimasuki penjenayah dalam kejadian petang semalam.
Mayat mangsa, Nor Asimah Md Ali, 69, yang tinggal bersendirian ditemui kira-kira jam 5.30 petang oleh anak saudara lelakinya yang kebetulan ke rumah itu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Jalil Hasan berkata, siasatan awal mendapati, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di tepi tangga tingkat bawah kediamannya.
Beliau berkata, anak saudara mangsa berusia 20-an yang tiba mendapati pintu rumah dalam keadaan terbuka, selain ruang dalam rumah turut berselerak.
“Mayat ditemui dalam keadaan tertiarap tanpa sebarang pakaian. Polis percaya kejadian berlaku antara jam 12 tengah hari hingga 5 petang semalam.
“Siasatan turut mendapati, suspek memecah masuk rumah dengan cara memotong pagar dawai di bahagian belakang rumah, sebelum masuk melalui siling bahagian dapur,” katanya ketika dihubungi.
Abdul Jalil berkata, suspek turut dipercayai menggunakan laluan masuk untuk keluar semula selepas memecah masuk kediaman berkenaan.
“Siasatan juga mendapati tiada kesan pergelutan terhadap mangsa, bagaimanapun hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan jerutan di leher.
“Susulan itu, enam lelaki termasuk empat warga Indonesia ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar daerah itu,” katanya.
Katanya, semua suspek direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.